Pelakon Niena Baharun dijangka bakal melahirkan cahaya mata keduanya pada hujung bulan hadapan.
Sudah mengetahui jantina anak keduanya itu, Niena Baharun mahu melahirkan bayinya secara prosedur pembedahan.
Sebelum ini, anak sulungnya yang kini berusia setahun, Adiel Mikael turut dilahirkan menerusi pembedahan C- Section.
Dalam pada itu, pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz ini juga merancang untuk menambah lagi cahaya mata selepas melahirkan kelak.
“Insya-Allah, saya ada sepasang cahaya mata sekiranya anak kedua dilahirkan. Bolehlah saya berehat sekejap dan fokus membesarkan anak dahulu, sebelum merancang menambah cahaya mata lagi. Lagipun saya bersalin secara pembedahan, jadi doktor galakkan untuk saya berehat supaya luka pembedahan dapat sembuh sepenuhnya,”
Ketika bertanyakan mengenai penglibatannya dalam dunia seni ketika ini, pelakon cantik ini berkata dia ada menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolak kerana terdapat beberapa kekangan.
Jika pada awal dulu dia ada merancang untuk kembali aktif pada awal tahun ini, namun disebabkan telah memperoleh rezeki untuk hamil anak kedua, Niena berkata dia enggan menyusahkan krew produksi jika terjadi perkara yang tidak diingini ketika berada dalam keadaan hamil.
Dalam pada itu, Niena turut menjelaskan bahawa suaminya, Aliff Firdaus tidak pernah menghalang dirinya untuk kembali aktif dalam bidang lakonan namun memilih untuk bersama dan menjaga si kecil di rumah terlebih dahulu.
Mengimbas kembali, Niena dan suaminya yang bergelar Datuk telah selamat bernikah pada Februari 2018 yang lalu dan hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adiel Mikail yang kini berusia 1 tahun.
Sumber : BH Online