Sering terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan, pastinya ramai sudah mengenali figura yang dikenali sebagai Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng.
Terlibat dalam aktiviti kebajikan sejak lebih 10 tahun yang lalu, difahamkan Uncle Kentang telah mendapat pengiktirafan ‘Point of Light’ daripada Ratu Elizabeth II, di mana anugerah tersebut diberikan kepada individu dalam negara anggota Komanwel sebagai tanda pengiktirafan atas kerja sukarelawan yang telah menyumbang dalam komuniti.
Kuan Chee Heng yang ditemui media menganggap dirinya hanyalah ‘insan kerdil’ jika mahu dibandingkan dengan aktivis kemanusiaan terkenal yang lain.
Tambah Kuan, dia sangat mengagumi figura Ustaz Ebit Lew dan tidak menolak sekiranya diberikan peluang untuk berkerjasama dengan pendakwah bebas itu.
“Saya buat secara kecil kecilan. Memang Ustaz Ebit adalah satu ikon negara dalam amal jariah. Saya memang menggalakkan mana-mana NGO untuk kita sama-sama membanting tulang untuk membuat yang terbaik untuk Malaysia. Kalau diizinkan Tuha..semua ini takdir. Kun Fayakun, akan jadi maka akan jadilah ia. Kita serahkan kepada tuhan dan kita buat apa yang boleh, kita buat.”
Dia yang mempunyai hampir 620,000 pengikut di Facebook itu dikenali dengan aktiviti turun padang memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan serta turut menyediakan perkhidmatan ambulans dan van jenazah.
Ketika ditanyakan mengenai perasaan apabila menerima pengiktirafan sedemikian rupa, Kuan berkata dia tidak pernah mengharapkan balasan dan sangat berbesar hati untuk menerimanya.
“Memang tak sangka..kita buat kerja ni suka-suka je bukan nak dapat pengiktirafan atau sijil. Bila kita beri sumbangan makanan atau ikan, makcik yang dapat ikan pun gembira. Apa lagi yang kita mahu? Makcik tu iktiraf kita pun, kita dah senyum dah..” ujarnya panjang lebar.
Sekadar info, Kuan Chee Heng dijadualkan akan menerima penganugerahan berkenaan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur sempena hari lahir Ratu Elizabeth II pada 10 Jun ini.