Penyampai radio Kool FM, Linda Onn baru-baru ini telah mengumumkan akan meninggalkan stesen radio tersebut pada 12 Ogos ini.
Linda memberitahu keputusan tersebut menerusi laman instagramnnya kelmarin. Dia juga turut memuat naik beberapa keping foto yang memaparkan sebuah majlis dipercayai disambut khas untuk sempena keputusannya meninggalkan Kool FM.
Di ruangan kapsyen, Linda mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada stesen Radio tersebut kerana sudi menerima kehadirannya sejak dua tahun yang lalu.
“Makan malam perpisahan bersama mereka, akan merindui mereka semua. Terima kasih kepada Kool FM kerana sudi menerima kehadiran Linda walaupun hanya dua tahu. Maafkan salah silap. Semoga ada rezeki untuk kita bekerjasama lagi. Selamat maju jaya Kool. Terima kasih kepada semua pendengar Kool FM yang selalu telefon, respon pada topik yang dibincangkan. Maafkan kalau ada salah bicara ya,”
Dia juga sempat mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus menelefon dan memberi respon kepada topik yang dibincangkan ketika segmen beliau.
Meninjau di ruangan komen, ramai pengikut serta peminat yang bersedih dengan pengunduran Linda daripada stesen radio tersebut.
Terdahulu, Linda Onn pernah menjadi penyampai di stesen radio yang lain seperti Era FM, Sinar FM dan Suria FM sebelum berpindah ke Kool FM. Dia turut memaklumkan bahawa hari terakhir dirinya bersiaran di corong radio adalah pada 12 Ogos 2020 ini.