Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) akan melancarkan program e-Jodoh dan Modul Poligami secara serentak pada Oktober depan.
Sistem e-jodoh merupakan sebuah medium digital bagi membantu mana-mana individu yang sukar bertemu jodoh untuk mendapatkan pasangan hidup.
“Matlamat e-Jodoh ini untuk orang yang susah mencari jodoh, dia boleh mendaftar biodata di laman web itu nanti. Mungkin dia inginkan ciri-ciri isteri atau suami yang khusus, boleh kita padankan mengikut kesesuaian mereka”
Manakala modul poligami sebagai langkah untuk memberi penerangan tentang tanggungjawab dan persediaan kehidupan berpoligami.
Menyentuh tentang modul poligami yang turut bakal diperkenalkan nanti, pengarah JAIPk, Mohd Yusop berkata antara tujuan utama modul tersebut ialah memberi pendedahan sebenar kepada masyarakat yang segelintirnya beranggapan bahawa poligami itu merupakan sesuatu yang buruk
“Modul Poligami ini kadang-kadang orang lihat tidak bagus atau tidak elok tetapi dari segi Islam membenarkan. Bukan dalam semua keadaan tapi keperluan, contohnya ada sebab tertentu.”
Modul tersebut juga akan menjadi salah satu inisiatif Jaipk bagi membendung masalah pengabaian isteri dan anak selepas berpoligami.
Persediaan berpoligami dan undang-undang berkaitan yang terkandung dalam modul itu diharap dapat memberi kefahaman mengenai konsep sebenar perkahwinan berkenaan yang kadangkala sering diberi tanggapan buruk sebagai ingin berseronok-seronok.
Jangan fikir seronok sahaja, poligami sebenarnya tentang konsep ukur baju di badan sendiri. Semua tentang tanggungjawab, jadi modul ini bolehlah membantu orang ramai lebih faham tentang konsep sebenar poligami.