Berita gembira buat semua kerana Legoland Malaysia Resort telah membuat satu pengumuman mereka akan kembali beroperasi secara rasmi bermula 12 Mac tahun ini.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa patuh SOP dan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan ketika berada di dalam kawasan taman tema berkenaan.
Sementara itu, Hotel Legoland dan Sea Life dibuka awal sehari iaitu 11 Mac kepada pengunjung yang berhasrat menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan.
Lebih menarik, kali ini Legoland Malaysia Resort akan membuka peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman mereka makan sambil menikmati pemandangan hidupan laut di bawah Sea Life.
Restoran bawah laut pertama di Malaysia itu menyediakan empat hidangan utama yang pastinya menarik dan enak buat semua pengunjung. Anda boleh menikmati makanan yang dihidang sambil melihat keindahan hidupan laut seperti black tip reef shark dan zebra shark.
Pengunjung juga boleh membuat lawatan ke akuarium besar di mana ia menempatkan belasan ribu hidupan laut yang cantik dan jarang dilihat. Mereka yang berkunjung ke sana berpeluang membeli pelbagai barangan cenderahati unik untuk dibawa pulang.
Istimewa buat semua penduduk tempatan di Johor, pihak Legoland Resort Malaysia menawarkan pakej penginapan dua hari satu malam berserta sarapan dengan harga yang mampu milik iaitu hanya RM499.