Bajet 2017: Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) Dinaikkan, Untuk Bujang Dan Isi Rumah

Trending

Bajet 2017: Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) Dinaikkan, Untuk Bujang Dan Isi Rumah

Bajet 2017 melalui kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak sebentar tadi mengumumkan bahawa Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) telah di naikkan, lapor Bernama.

Advertisement

Bagi isirumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 dinaikkan daripada RM800 kepada RM900 dan bagi individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

Berikut adalah intipati penting Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan.

– Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.0-5.0 peratus pada 2017 memandangkan asas ekonomi kukuh negara ditambah dengan sokongan strategi dan program Bajet 2017

– Pertumbuhan dijangka disumbang daripada permintaan domestik, terutama perbelanjaan penggunaan swasta dan pelaburan swasta dijangka berkembang masing-masing pada 6.3 dan 5.8 peratus pada 2017

– Jurang tabungan-pelaburan dijangka mengecil kepada 0.5-1.5 peratus pada 2017 sejajar dengan aktiviti pelaburan yang rancak

– Inflasi dijangka kekal terkawal pada 2017, manakala ekonomi terus beroperasi di bawah guna tenaga penuh

– Semua sektor ekonomi dijangka menyumbang kepada pertumbuhan dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan menerajui pengembangan pada 2017

– Defisit fiskal dijangka bertambah baik kepada 3.0 peratus (RM40.3 bilion) berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017. (2016: 3.1 peratus; RM38.7 bilion)

– Kutipan hasil kerajaan meningkat 3.4 peratus kepada RM219 bilion pada 2017, disumbang daripada kutipan hasil cukai tinggi, terutama cukai pendapatan syarikat

– Hasil berkaitan bukan minyak terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah hasil pada 2017, sebanyak 86.2 peratus, disumbang terutamanya daripada kutipan cukai barang dan perkhidmatan tinggi sebanyak RM40 bilion

– Malaysia akan terus meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan program dan projek mesra rakyat pada 2017

– Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 3.4 peratus kepada RM260.8 bilion pada 2017 daripada RM252.1 bilion tahun ini; 82.4 peratus (perbelanjaan operasi) dan baki (perbelanjaan pembangunan)

– Emolumen, komponen terbesar perbelanjaan operasi akan diperuntukkan RM77.4 bilion pada 2017

– Subsidi dan bantuan sosial akan terus disediakan dengan peruntukan RM22.4 bilion pada 2017

– Bagi perbelanjaan pembangunan, RM46 bilion akan diperuntukkan pada 2017; 56.2 peratus sektor ekonomi, sosial (26.5 peratus), keselamatan (11.5 peratus) dan pentadbiran am (5.8 peratus)

– Peruntukan bagi sektor ekonomi pada 2017 akan digunakan terutamanya bagi menaik taraf prasarana fizikal; menambah baik prasarana telekomunikasi dan tenaga terutamanya di kawasan luar bandar

– Sejumlah RM12.2 bilion akan diperuntukkan kepada sektor sosial bagi menyediakan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat pada 2017

– Sektor keselamatan yang terdiri daripada pertahanan dan keselamatan dalaman, akan disediakan peruntukan RM5.3 bilion pada 2017

– Bagi sektor pentadbiran am, RM2.7 bilion akan diperuntuk bagi menambah baik kemudahan kerajaan dan teknologi maklumat dan komunikasi di seluruh negara pada 2017

– Bagi tempoh separuh pertama 2016, ekonomi Malaysia terus berkembang sebanyak 4.1 peratus, disokong aktiviti ekonomi domestik.

– KDNK negara dijangka berkembang antara 4.0 dan 4.5 peratus tahun ini dengan penggunaan isi rumah dan keseluruhan pelaburan kekal kukuh

– Jumlah perdagangan Malaysia dijangka cecah RM1.5 trilion pada 2016

– Permintaan domestik kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama pada 2016, berkembang 4.7 peratus

– Aliran masuk Pelaburan Langsung Asing bersih berjumlah RM23.8 bilion dalam tempoh separuh pertama 2016 berbanding RM26.7 bilion dalam tempoh yang sama pada 2015

– Pelabur domestik menyumbang 68.1 peratus kepada jumlah pelaburan dilulus bernilai RM88.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2016

– Harga minyak sawit mentah dijangka berada pada purata RM2,500 setan metrik tahun ini, memandangkan jangkaan peningkatan dalam pengeluaran dan keadaan cuaca tidak menentu

– Subsidi turun 9.6 peratus kepada RM24.6 bilion tahun ini berikutan komitmen kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi

– Perbelanjaan kerajaan akan menumpukan kepada program dan projek dengan pelbagai kesan besar kepada ekonomi

– Perbelanjaan operasi turun 4.5 peratus kepada RM207.1 bilion tahun ini berikutan langkah mengoptimum dan merasionalisasikan bekalan, perkhidmatan, geran, subsidi dan pembelian aset

– Dasar monetari Malaysia terus menumpu kepada kestabilan harga dan pertumbuhan mampan, memandangkan risiko dalam ekonomi global

– Malaysia menerajui sukuk global, menyumbang 53.4 peratus atau US$180 bilion daripada nilai sukuk global pada akhir Jun 2016

– Sistem perbankan Malaysia mengeluarkan bayaran pinjaman berjumlah RM598.5 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2016

– Industri perbankan Islam berkembang pesat dalam tempoh lima tahun lalu, dengan aset meningkat kepada RM685.4 bilion berbanding RM351.2 bilion pada akhir 2010

– Jumlah akaun deposit dan pelaburan Islam daripada sistem perbankan Islam meningkat 9.6 peratus kepada RM580.7 bilion sepanjang tempoh Jan-Julai 2016.

Sumber : Bernama

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...