Mak Aku Mati Sebab Kau Sampai Lambat! Disebalik Kisah Sebenar Petugas Ambulans

Trending

Mak Aku Mati Sebab Kau Sampai Lambat! Disebalik Kisah Sebenar Petugas Ambulans

Kita mungkin selalu terserempak dengan situasi ini, Ambulan yang mengabaikan tanda lampu isyarat ketika dalam perjalanan kecemasan kerana mahu cepat menyelamatkan nyawa pesakit.

Tetapi pernahkah kita terfikir kerja pemandu dan pegawai perubatan tidak mudah untuk dilaksanakan?

Advertisement

Menerusi Facebook Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, menceritakan pengalaman bertugas di jabatan kecemasan yang ramai tidak tahu.

Doktor ini menceritakan kisahnya kepada semua pembaca bagaimana mereka menjalankan tugas harian di bahagian kecemasan.

pegawai perubatan dalam ambulan

Tolong anak saya ni, doktor. Tolonglah!

Jadi petugas kesihatan ni, kadang-kadang kami terpaksa buang hati kita jauh-jauh. Bukan kami mahu, tapi terpaksa. Demi tuntutan kerja dan memberi perkhidmatan yang adil.

Kes pertama

Terima panggilan kecemasan, mangsa lemas di tasik. Kami bergegas ke tempat kejadian. Tiba di sana kami dapati mangsa seorang budak sekitar 12 tahun dikerumuni beberapa orang dewasa.

Budak itu sudah kelihatan biru dan kaku. Bila diperiksa, tak ada tanda kehidupan (vital sign). Kami CPR juga, saya buat tekanan dada, MA beri udara guna beg pam.

Semasa kami CPR, GIRN(walkie talkie) berbunyi:

Apa status kes di ********(nama tempat yang kami pergi ni)? Kami terima satu kes lagi ni. Perlu respon segera. MVA, polytrauma.

Panggilan tu dari MECC, pusat panggilan kecemasan medikal. Pemandu ambulans beritahu keadaan di sini. MECC kata, ambulans lain berada jauh dari tempat kejadian, kami paling dekat.

OK, lagi 10 minit, kita orang gerak.

Memandangkan kami dah CPR hampir 30 minit, dan mangsa lemas ni tak menunjukkan apa-apa tanda kehidupan, maka kami hentikan usaha, sahkan mangsa telah meninggal dan berkemas untuk berkejar kepada kes seterusnya.

“Nak bawa pergi hospital mana ni?”

Tiba-tiba datang seorang lelaki bertanya soalan ni dengan muka cemas. Saya beritahu bahawa kami tak akan bawa mangsa ke hospital, kerana mangsa sudah meninggal dan ia sudah jadi urusan pihak polis.

Tolong anak saya ni, doktor. Tolonglah!

Merayu-rayu dia pada kami. Malangnya yang telah pergi, tetap pergi dan tiada apa lagi yang boleh kami lakukan. Lelaki tu dukung anaknya, dan hendak dibawa masuk ke dalam ambulans.

Berkali-kali saya minta maaf dan minta diri, tapi lelaki tu halang kami. Pemandu ambulans dah hilang sabar, tapi nasib baik pegawai polis tiba sebelum ada kekasaran fizikal berlaku.

Sebaik sahaja pegawai polis ambil alih situasi, kami bergegas ke kes kedua. Banyak pula kenderaan tak beri laluan, padahal siren ambulans dah dipasang, terpaksa hon.

bergegas ke ke kedua

Kes kedua

Sampai sahaja ke destinasi, kami bergegas naik ke tingkat 4 sebuah flat menggunakan tangga. Flat berkenan tak ada lif. Di tingkat 2, langkah masih deras, namun di tingkat 4, kaki dah longlai kehabisan tenaga.

Sampai rumah berkenaan, kami dapati seorang wanita berusia tak sedarkan diri. Bila diperiksa, sudah tak ada tanda kehidupan, dan kena CPR lagi.
bahan CPR

 

Dimaki anak pesakit

Setelah 30 minit berlalu, kami sahkan kematian kedua pada hari berkenaan. Mula-mula anak si mati tu menangis namun tak lama lepas tu dia mula memaki hamun.

Kau nama siapa? Dari hospital mana?

Kami beritahu nama kami, dan nama hospital.

“Babilah kau orang ni! Dah lah sampai lambat! CPR pun macam nak tak nak! Sikit pun tak ikhlas. Mak aku mati sebab kau orang ni buat kerja macam sial!”

 

Tidak mahu keruhkan keadaan

Kami diamkan sahaja walaupun hakikatnya kami bukan malas, bukan tak ikhlas, tetapi kerana tenaga tak mengizinkan.

Letih lakukan CPR pertama tadi dan panjat tangga belum habis, kena buat CPR lagi. Buat CPR amatlah meletihkan. Bila dah letih, CPR jadi sloppy(tak semenggah).

Malangnya, letih ni perkara yang tak boleh nampak di mata, dan tak bijak jika memberi alasan kepada orang yang hatinya sedang tenggelam dengan emosi.

Kau tunggu, aku report dekat KKM! Kau tunggu!

Kami minta maaf, terangkan apa yang perlu dilakukan untuk lapor kematian di rumah, dan minta diri. Nasib baik ada waris yang lain. Mereka cuba menenangkan lelaki berkenaan.

Setelah masuk ke dalam ambulans, kami terus bergerak pulang menuju ke hospital.
dalam ambulan

Sepanjang perjalanan, semuanya terasa kekok dan sunyi. Lebih-lebih lagi tanpa bunyi siren ambulans. Sebenarnya ada banyak benda yang hendak diperkatakan, tapi masing-masing pilih untuk mengunci mulut.

Pesakit meninggal di tempat kejadian, kes jadi urusan polis

Kes pertama, kami hanya ikut prosedur. Apabila pesakit dah meninggal di tempat kejadian, ia dah jadi urusan pihak polis. Ambulans tak boleh ambil jenazah bawah ke hospital.

Kemudian, kami mahu lekas-lekas bergegas berlalu pergi dari kes pertama kerana ada kes lain menunggu. Kami peduli dan kasihan pada waris, namun ada orang lain yang lebih memerlukan kami.

Faktor kelewatan yang tidak dirancang

Kes yang kedua tu, ya kami sedikit lewat. Ada banyak faktor. Dihalang oleh bapa kes pertama, halangan trafik, aksesibiliti flat, dan sebagainya. Ini semua faktor yang kami tak boleh ubah.

Orang kata, kalau diam tanda setuju atau bersalah. Hal tu tak sentiasa benar. Ada masa, diam itu tanda tak setuju tetapi tak mahu keruhkan keadaan atau menghormati situasi.

Sampai hospital, kami ambil tempat masing-masing di kaunter triage dan primary screening dan sambung kerja dengan senyuman palsu. Kalau tak senyum, karang kena report lagi.

Sebab itu, nak jadi petugas kesihatan ni, kena ketepikan emosi dan hati. Mental jangan cepat koyak, semangat jangan cepat patah, mulut jangan cepat melatah. Kekal tenang, dan sedia membantu.

Semoga perkongsian dari pegawai perubatan ini dapat memberi pemahaman kepada kita semua bagaimana kerja mereka berusaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

Sumber: Facebook

 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...