Semua orang sedia maklum bahawa orang awam yang menggunakan perkhidmatan awam seperti LRT, MRT, bas dan sebagainya mempunyai etika yang tersendiri agar tidak menganggu pengguna yang lain.
Menerusi Twitter @AskRapidKL, pihak pengurusan MRT ada menegur sikap pengguna yang bertindak makan mi segera di dalam tren.
Namun begitu, teguran tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-rata menegur agensi itu yang turut mempunyai masalah seperti mesin escalator yang masih tidak dibaiki sejak sekian lama dan sebagainya.
Kata netizen, agensi itu perlu dan seharusnya membaiki terlebih dahulu kelemahan sistem yang telah menyusahkan pengguna seperti mana yang diadu oleh netizen di media sosial sehingga menjadi tular sebelum ini.
“Siapa la yang jadi ‘admin’ ni? Pandai tegur orang. Kalau bab suara lokasi tak keluar, screen map gelap memanjang, mesin top-up duit/token selalu rosak, train tak on time, escalator rosak dah bertahun. Ha tu macam mana pulak?” luah seorang netizen.
Terdahulu, kecoh seketika selama beberapa minggu di media sosial mengenai servis perkhidmatan awam seperti mesin tambah nilai dan escalator di beberapa lokasi stesen MRT dan LRT yang dilaporkan tidak berfungsi dengan baik sejak bertahun lamanya.