Sesetengah individu memilih untuk hanya berdiam meskipun sedang kecewa atau marah dengan harga makanan dijual oleh restoran yang mereka kunjungi.
Namun, segelintir individu mengambil keputusan untuk menceritakan pengalaman mereka dengan berkongsi di media sosial sehingga ia tular.
Seperti seorang individu yang berkongsi di Facebook baru-baru ini di mana dia menceritakan pengalamannya menjamu selera di medan selera dalam pusat membeli belah terkenal di Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran itu, dia menunjukkan gambar sepinggan nasi kandar dengan lauk ayam berserta seekor sotong dengan resit berharga RM86.
Dia yang datang dari Johor dan pertama kali order begitu akui berasa terkejut dengan harga dua ekor sotong tersebut dicaj sebanyak RM70!
Malah kata individu itu lagi, sebenarnya dia hanya mengambil seekor sotong tetapi dicaj dua kali dan staf kedai memberi alasan kerana ia bersaiz besar.
Memang biasa ke harga RM86 ni? Harga di sini (KL) memang macam ni ke? (saya dari Johor jadi tak pasti, ini kali pertama order).”
Individu itu turut meminta pendapat netizen di media sosial tentang harga dikenakan dan ramai warganet berpendapat ia tidak masuk akal dan melampau.
Ada yang menyuarakan pendapat bahawa harga dibayar olehnya itu sama saja seperti pergi makan bufet. Segelintir warganet turut menasihatinya agar bertanya tentang harga dahulu sebelum mengambil sotong tersebut.
Bagaimanapun, ada yang berkata ia kerana harga sewa kedai ditetapkan oleh pusat membeli tersebut mahal jadi wajarlah makanan mahal sebegitu.