Biasanya setiap kali ada lebihan nasi di rumah, ramai yang akan memilih untuk panaskan sahaja semula nasi itu untuk dimakan. Tabiat ini antara perkara biasa yang selalu kita lakukan untuk elakkan pembaziran makanan.
Tetapi tahukah anda, tabiat ini boleh mengakibatkan anda sekeluarga mengalami keracunan makanan?
Hebahan yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini memberitahu nasi yang di tinggalkan dalam suhu bilik lebih 4 jam menyebabkan spora yang ada dalam nasi itu aktif semula.
Tahukah anda nasi yang dipanaskan semula boleh menyebabkan keracunan makanan.
Ia bukan kerana pemanasan semula nasi itu tapi cara kita menyimpan nasi itu sebelum dipanaskan.
Nasi yang ditinggalkan dlm suhu bilik lebih 4 jam menyebabkan spora yg ada dlm nasi itu aktif semula. pic.twitter.com/zUjtZdxL9L
— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) December 22, 2019
Dan ini menyebabkan pembiakan bakteria bacilus cereus sehingga menghasilkan toksin beracun. Sebab itu penting untuk kita menitik beratkan penyimpanan makanan. Makanan yang telah dimasak mesti disimpan dalam peti sejuk dalam bekas yang tertutup.
Tips penyimpanan nasi
Kadang-kadang ada situasi di mana masih terdapat lebihan nasi di rumah yang tak dapat dijangkakan. Jangan panik kerana tak salah untuk memanaskan nasi semula cuma cara penyimpanan yang perlu dititikberatkan.
Jika ada lebihan nasi, jangan simpan di dalam suhu bilik lebih daripada satu jam. Sebaliknya, sejukkan nasi dan bahagikan di dalam bekas makanan yang bertutup rapat. Selepas itu, terus masukkan ke dalam peti sejuk atau freezer.
Tetapi nasi di dalam peti sejuk boleh disimpan tidak lebih daripada satu hari sahaja untuk dipanaskan semula. Yang penting, nasi tersebut hanya boleh dipanaskan sekali sahaja dan bukannya berulang-ulang kali.