Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Ketika ditemui, ibu bapa kepada Ahli Parlimen Muar itu mengucapkan terima kepada semua pihak yang menyokong dan meluahkan rasa syukur atas keputusan mahkamah yang menyebelahi anak mereka itu.
Ibu kepada Syed Saddiq iaitu Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz berkata, penantian selama 5 tahun ini bukanlah satu tempoh masa yang sekejap.
Sebagai seorang ibu, 5 tahun itu bukan sekejap. Dengan penuh cabaran, penuh dugaan. Tapi di hati Saddiq adalah apa yang dia lalukan kerana Allah SWT dan untuk rakyat.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan pernah terdetik dihatinya untuk menghalang Saddiq daripada menceburi bidang politik.
Kadangkala sebagai seorang ibu, hati berdetak ingin berkata kepada anak janganlah masuk politik kerana keadaan susah sangat, ramai tak beri kerjasama.
Tapi syukur alhamdulillah Saddiq dikelilingi oleh orang yang menyayanginya. Semangatnya kuat untuk rakyat, kuat untuk Malaysia. Tak kira apa bangsa dan agama. Maka sebagai seorang ibu, saya diamanahkan dan akan memastikan perjuangannya berjaya kerana Allah.
Beliau turut berharap agar orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat anaknya agar dapat terus berjuang untuk rakyat.
Pada masa yang sama, Sharifah Mahani turut mendoakan agar pihak yang menganiaya anaknya itu diberikan hidayah kerana hidup ini hanya sementara dan bukan selama-lamanya.
Bagi mereka yang menganiaya anak saya, saya hanya mendoakan supaya Allah memberi hidayah kepada mereka. Hidup ni sementara, bukan selama-lamanya. Jangan aniaya orang lain.
Namun, saya maafkan mereka atas penganiayaan yang dilakukan ke atas anak saya dan keluarga. Ingat, kita semua manusia biasa.