Baru-baru ini tular mengenai beberapa barangan kulit di pasaraya yang berkulat akibat dibiarkan terlalu lama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.
Sebenarnya, bagaimanakah kulat terjadi?
Kulat boleh tumbuh di pelbagai permukaan yang berbeza. Ia biasanya berkembang pada udara yang panas dan lembab, terutamanya di dalam bangunan yang tertutup.
Ia mudah hidup di kapas, linen, rayon, sutera, bulu, kulit, kayu dan kertas. Faktor yang mempengaruhi pertumbuhan kulat termasuklah kelembapan, suhu, oksigen dan kehadiran sumber makanan untuk kulat.
Kulat mampu menyebabkan kerosakan yang besar. Ia meninggalkan bau hapak, menghitamkan permukaan barangan dan adakalanya akan memakannya sehingga busuk dan hancur. Ia turut melunturkan warna kulit dan kertas.
2 jenis kulat yang selalu tumbuh pada barangan kulit dan fabrik.
- Kulat Aspergillus
Kulat Aspergillus biasa terdapat di kawasan di seluruh dunia. Ia mampu bertahan dalam pelbagai suhu dan terdapat di udara dan tanah. Kulat Aspergillus menghasilkan banyak enzim, yang menjadikannya sangat efisien dalam menghancurkan bahan yang terdapat pada pakaian, kasut dan perabot.
- Kulat Penicillium
Kulat Penicillium biasanya digunakan dalam perubatan, kerana penisilin berasal dari kulat jenis ini. Walau bagaimanapun, apabila penisilin tumbuh pada sesuatu barangan, ia boleh menyebabkan kerosakan teruk.
Cara untuk mencegah pertumbuhan kulat.
Sekiranya kulat telah mula merosakkan barangan seperti pakaian dan perabot, ia mampu mengakibatkan kerugian yang besar. Sesetengah barangan ini perlu terus dilupuskan bagi mengelakkan jangkitan pada barangan lain dan bagi mencegah daripada memudaratkan kesihatan.
Jadi pencegahan awal adalah lebih baik sebelum ianya terjadi. Beberapa perkara rutin perlu dilakukan bagi mengelak pertumbuhan awal kulat dalam bangunan seperti:
- Pastikan tahap kelembapan serendah yang boleh.
Suhu kelembapan yang sesuai ialah antara 30% dan 50% sepanjang hari. Penghawa dingin atau dehumidifier mampu membantu bagi mengekalkan tahap kelembapan ini. Perlu diingatkan bahawa tahap kelembapan berubah sepanjang hari dengan perubahan kelembapan di dalam suhu udara, jadi perlulah memeriksa tahap kelembapan lebih dari sekali sehari.
- Pastikan bangunan mempunyai pengudaraan yang cukup.
Sentiasa gunakan exhaust atau ventilation fan bagi memastikan pengudaraan mencukupi ke segenap ruang bangunan.
- Baiki segera sebarang kebocoran di atap, dinding, atau paip bangunan supaya kulat tidak mempunyai kelembapan untuk tumbuh.
- Bersihkan barangan dengan kerap.
Kulat gemar tumbuh di mana kotoran tinggal, jadi pastikan barangan dan perabot selalu dibersihkan. Pelbagai jenis produk untuk mencegah pertumbuhan kulat ada dijual di pasaran. Gunakan produk yang sesuai mengikut jenis barangan atau perabut yang ingin dibersihkan.
Langkah-langkah pencegahan ini bukan sahaja perlu dilakukan oleh pemilik perniagaan tetapi pakaian dan barangan rumah juga perlu sentiasa diawasi bagi mencegah pembentukan kulat.
Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.