YouTube Kids yang dilancarkan pada tahun 2015 ialah satu aplikasi video percuma yang mesra kanak-kanak dan menjadi sangat popular terutamanya untuk kanak-kanak seawal usia dua tahun.
Berlainan dengan aplikasi YouTube yang biasa, YouTube Kids mengasingkan dan menapis video-video yang tidak sepatutnya ditonton oleh kanak-kanak dan hanya menyediakan senarai video yang sesuai untuk tontonan mereka seperti kartun, dan video yang berunsurkan pendidikan.
Sebab itulah kebanyakkan ibu bapa sudah mula sedar dengan kewujudan aplikasi ini dan rasa lebih selamat untuk memberi anak mereka menonton video di telefon pintar.
Tetapi internet tetaplah menjadi internet, apa sahaja benda boleh terjadi dalam dunia internet ni lagi-lagi kalau dikaitkan dengan sesuatu yang negatif. Video kanak-kanak juga tak ketinggalan menjadi mangsa salah guna pengguna internet. Ada pihak yang buat video palsu yang berunsurkan ‘disturbing content’ dan dimuat naik di YouTube Kids.
Jadi, adakah masih selamat untuk membiarkan anak-anak kecil anda untuk menonton YouTube Kids bersendirian tanpa pengawasan?
Google juga mengesahkan yang hanya 0.005 peratus yang dikeluarkan daripada aplikasi ini sejak 30 hari lalu. Tiada sebarang sistem automatik, ataupun algoritma Google yang sempurna.
Tetapi aplikasi YouTube Kids ini menawarkan beberapa fungsi kawalan untuk membantu ibu bapa mengurangkan risiko anak mereka tersalah tonton kandungan yang tak sepatutnya.
Salah satu cara termudah ialah playlist. Ibu bapa boleh memilih video-video kegemaran anak-anak dan membuat satu playlist khas. Jadi, anak-anak boleh menonton video-video yang tersenarai dalam playlist itu sahaja.
Selain itu ada lagi beberapa cara lain yang boleh mengurangkan kerisauan ibu bapa dan risiko untuk anak-anak menonton kartun kegemaran mereka.
Tutup fungsi carian
YouTube Kids membolehkan anak-anak mencari video yang mereka mahukan sama ada dengan menaip atau menggunakan fungsi voice search. Fungsi ini membolehkan mereka mendapat pelbagai result carian termasuk video yang negatif.
Penyelesaiannya, anda boleh tutup atau lumpuhkan (disable) fungsi carian. Untuk mematikan fungsi ini, anda perlu klik ikon kunci di bahagian bawah sebelah kanan. Masukkan kata laluan, klik tetapan (settings), klik profil anak anda, dan kemudian off tetapan carian.
Anda boleh menyediakan profil yang berasingan untuk setiap anak anda.
Tetapkan kata laluan
Untuk masuk ke bahagian tetapan, anda perlu tetapkan kata laluan empat digit. Juga ada fungsi Parents Only Screen, jadi hanya ibu bapa sahaja yang tahu dan boleh masukkan kata laluan tersebut.
Laporkan dan sekat (block) video yang tidak sesuai
Anda boleh laporkan dan sekat video-video yang berunsurkan negatif dan tidak menyenangkan. YouTube Kids ada satu pasukan untuk menyemak dan memerhatikan video yang ditandakan atau flagged video sepanjang masa. Jadi jika anda merasakan ada video yang tidak patut ditonton oleh anak anda, laporkan sahaja.
Untuk melaporkan dan menyekat video berkenaan, anda hanya perlu klik butang tiga dot dibahagian atas video, dan kemudian klik block. Anda hanya boleh menyekat video yang sedang ditonton. Tetapi jika anda merasakan ada channel yang mencurigakan, anda juga boleh menyekat channel tersebut.
Video dan saluran Whitelist
Pada september 2018, Youtube Kids telah menambah lagi satu fungsi kawalan untuk membantu ibu bapa memilh kandungan, video dan saluran yang sesuai untuk anak-anak. Untuk menghidupkan fungsi whitelist ini, pergi ke bahagian tetapan, dan pilih “approved content only” dalam profil anak-anak. Anda boleh memilih kandungan yang sesuai sahaja untuk disenaraikan.
Mungkin anda sebagai ibu bapa tidak dapat mengawal apa yang dikeluarkan di internet tapi dengan sedikit usaha mencuba langkah-langkah ini, anda dapat mengawal apa yang patut dan tidak patut ditonton oleh anak-anak anda.
Sumber: CNN