Bagaimana Kesungguhan Usahawan Ini Hingga Berjaya Buka 18 Outlet Di Seluruh Malaysia

Trending

Bagaimana Kesungguhan Usahawan Ini Hingga Berjaya Buka 18 Outlet Di Seluruh Malaysia

Pulang dari tempat kerja semalam saya bergegas ke Pusat Bandar, Bandar Baru Bangi. Kononnya ada janji temu dengan salah seorang wanita besi yang punya anak 4 dan menguruskan empayar perniagaannya secara diam-diam dan tidak dikenali.

Advertisement

Beliau ini saya kenali semasa beliau hadir ke kelas saya, Penulisan Berpengaruh beberapa bulan lalu.

Saya sampai sedikit awal dari waktu yang dijanjikan.

Sedang saya masuk ke dalam café QNA, beliau sedang bersembang dengan salah seorang pereka baju. Saya diminta duduk dan pereka baju lekas meninggalkan kami berdua.

Puan ini masih segan-segan. Dah terbalik kot.

Sepatutnya saya yang segan. Saya memang mahu belajar bagaimana wanita sebaya saya ini berjaya memikat hati para pelanggan dan sehingga kini sudah berbelas cawangan butiknya dibuka di seluruh negara.

Kami bersembang bagai nak rak, kejap-kejap puan ini bercerita tentang kehidupan awal, bagaimana beliau memulakan perniagaan dan apa misi beliau membangunkan empayarnya ini.

Saya ambil catatan di sehelai kertas, itupun saya minta dari puan ini. Pen sahaja saya bawa, apa punya penulis pun tak tahulah. Ha ha ha.

Nama beliau ialah Puan Fadzilah Binti Mamat, jurutera yang berasal dari Terengganu. Puan ini memulakan perniagaan kecilnya pada tahun 2012 dengan hanya bermodalkan RM5,000.

Membuka tapak niaga di sebuah bazar Ramadan. Kemudiannya, dalam tahun yang sama beliau terus membuat tudung jenama sendiri dan membuka kiosk tudung di sebuah kompleks membeli belah.

Selepas jualan yang memberansangkan, beliau membuka butik demi butik, terbaru akan dibuka di Cyberjaya, butik ke-18. Dalam tempoh 4 tahun kawan!

Antara yang saya dapat belajar dari kesungguhan beliau ialah:

1. Tidak pernah berhenti belajar. Beliau memulakan langkah dengan mengambil kelas-kelas perniagaan secara online dan offline dari sebelum berniaga hinggalah hari ini (walau sudah dikira berjaya).

Bagi beliau, ilmu perniagaan adalah ilmu yang sentiasa berkembang dengan cukup pesat. Masing-masing perlu berlari mengikut kelajuan terkini. Jika perlu menari ikut rentak, maka perlu belajar pula menari. Begitulah.

Kekuatan beliau ialah, beliau sentiasa kemaskini dengan perkara baru, sebut sahaja ilmu tentang pemasaran, jenis kain, cashflow, duit masuk keluar, generasi gap sikap pekerja, semuanya dalam tangan. Beliau amat fokus dengan apa yang dipelajari. Power.

2. Keluar negara mencari idea. Tidak ramai yang berbuat begini untuk berada di negara sendiri dan membina empayar. Kata orang, lagi banyak berjalan lagi banyak input yang akan diterima. Begitulah.

Puan ini memulakan langkah dengan mengembara ke Guangzhou, China dan melihat banyak produk dan barangan yang boleh dijual di Malaysia.

Dari situ terbit rasa cinta beliau untuk memulakan perniagaan sendirinya. Selepas itu, beliau mengembara lagi ke Vietnam dan melihat perusahaan kain dan fabrik.

Idea-idea yang tidak beliau ketemui dalam negara, beliau bersua di sana dan membawanya pulang dan merealisasikan dalam bentuk perniagaan. Hebat!

3. Berani mencuba untuk mendapatkan ‘chemistry’. Tidak ramai yang berani lakukan perkara sebegini. Puan ini memulakan langkah untuk berniaga dengan menjadi salah seorang agen unit amanah.

Kemudian, beliau cuba juga menjadi salah seorang dari ahli MLM yang terkemuka. Dari dua-dua perjalanan ini, beliau temui banyak perkara tentang kuasa beli yang terdapat di dalam diri masyarakat.

Saat beliau mengkaji produk sendiri, beliau merasakan yang beliau perlu dekat dengan pelanggan.

Pelanggan perlu menikmati setiap apa produk yang beliau jual. Oleh sebab itulah, beliau berjumpa dengan produk ‘kimia’nya iaitu seleksi fabrik.

Fabrik dan wanita sentiasa bersatu. Malah kuasa beli terhadap produk ini sememangnya pada wanita.

4. Jadi pemasar, bukan taukeh kedai. Ada ramai antara kita yang lebih suka menonjolkan diri menjadi taukeh di mana-mana premis yang dibina. Puan ini tidak, beliau lebih suka berjumpa ramai kenalan bisnes dan memastikan operasi pemasaran adalah tugas beliau yang paling utama.

Aktiviti pemasaran menyumbang 90% kepada jualan. Sebut sahaja nama produk baru, ceritakan dengan jelas dan ringkas, pelanggan akan berpusu mendapatkannya.

Setakat ini, selama lebih 4 tahun membina empayar ini, beliau menjadikan diri sendiri sebagai manusia paling pakar dalam pemasaran produk di dalam premisnya sendiri.

Tidak perlu jadi taukeh, tidak perlu menonjol diri menjadi superwomen, beliau hanya bertugas sebagai ‘marketing man’ di sebalik koleksi tudung dan kain-kain yang beliau jual.

Kadang-kadang, beliau sengaja menjadi salah seorang ‘customer‘ untuk bersembang dengan pelanggan lain di dalam premisnya sendiri juga kedai orang lain untuk mengenal dan mengetahui kehendak dalam pasaran.

5. Beliau menguruskan kesemua 18 outlet dengan mood ‘keluarga’. Beliau tidak mahu dianggap sebagai ‘owner‘ tetapi sama-sama bekerja. Yang paling best ialah beliau memberi kepercayaan penuh kepada semua kakitangan sama rata.

Teamwork yang dibina dari awal ini bermula dari sikap percaya sesama sendiri dengan sistem yang telah dibina dari awal. Kemas kini stok, urutan duit masuk dan keluar semuanya diserahkan kepada kakitangannya dan hingga hari ini sekiranya ada masalah, dapat diselesaikan dengan cara ‘keluarga’ yang semuanya ‘transparent’.

Antara ayat yang melekat di kepala saya ialah,

“Saya berniaga bukan sekadar nak kaya seorang, saya nak pastikan kakitangan saya juga dapat apa yang saya dapat. Dapat bina keluarga, bahagia, gaji yang setimpal dan dapat belajar bina perniagaan seperti saya.”

Menariknya ialah, ramai antara bekas pekerja beliau juga kini adalah peniaga barangan fabrik dan mereka saling bantu tanpa bersaing.”

6. Saing = kawan. Katanya lagi, di Kelantan dan Terengganu, maksud ‘saing’ adalah kawan. “Mu nok gi mana saing ui,” Maksudnya, nak kemana kawan?

Oleh sebab itu mereka akan berkawan. Sedang kami bersembang, lalu 2 ‘saing’ beliau. Puan ini menegur dan bersembang sekejapan. Lalu memperkenalkan saya.

Selepas mereka berlalu, puan terus memberitahu yang mereka rupanya pemilik butik di sebelah sana sahaja. Subhanallah, sungguhlah mereka tidak bersaing, mereka berkawan. Ini mengukuhkan lagi empayar beliau.

Beliau memberi bayangan bagaimana di Kelantan dan Terengganu, pasar-pasar mereka menjual produk yang hampir sama. Dan yakin kekuatan rezeki Tuhan ada di mana-mana dengan saling membantu antara satu sama lain. Ini hebat.

7. Kejayaan adalah proses, bukan destinasi. Bagi beliau, setiap kali menguruskan perniagaan, banyak cabaran yang beliau tempuhi. Dan setiap kali konflik itu berlaku, itulah tanda-tanda kejayaan sedang menghampiri. Proses-proses ini yang perlu dilalui oleh semua peniaga dan pengusaha.

Proses mahu berjaya itu perlu menemui jalan yang bengkang bengkok, naik turun bukit, seberang lembah dengan berenang sendiri, kadang-kadang dengan tim. Semua kena hadapi dengan sebaiknya. Tidak putus asa.

Jika temui jalan lurus, cantic-cantik, serta penuh dengan ganjaran berlipat ganda, itu yang lebih perlu hati-hati.

Letak Tuhan di hadapan siap-siap. Itu paling asas. Kita dekat dengan Tuhan, Tuhan akan dekat dengan kita serapatnya. Rasa kuat dan sentiasa dengan mood happy dalam setiap proses yang dilalui.

Ini yang sempat saya catat di atas sekeping kertas.

Pemilik empayar Benang Hijau sungguh mesra dan menjadi ikon yang punya kerusi tersendiri seperti pemilik jenama tudung dan fabrik lain. Masih kekal ‘humble’, kekal tenang dan relaks sahaja bermesyuarat di kedai-kedai dan beramah mesra dengan ramai orang.

Antara perkara yang mengajar beliau sentiasa baik dengan semua orang ialah saat beliau kehilangan ibu pada umur 15 tahun. Beliau merasakan kehilangan itu cukup besar buat dirinya.

Saya dapat membayangkan kerinduan beliau kepada ibunya sendiri saat beliau bercerita kisah berkahwin awal, kemudian melahirkan 4 orang anak tanpa sentuhan dan pesanan dari ibu sendiri. Lain kawan, menjadi ibu tanpa ibu sendiri ini satu ujian yang cukup besar.

Oleh yang demikian, beliau ingin sekali memberi hadiah kepada mana-mana pelanggannya yang mengambil gambar di premisnya (dan membeli tudung) dan membuat hashtag #benanghijauumrahcontest untuk memenangi pakej ibadah umrah untuk ibu dan anak. Subhanallah. Seronoknya!

Kawan-kawan,

Ini antara inspirasi masa kini. Tidak semestinya popular untuk berjaya. Tidak juga memperkenalkan diri merata-rata untuk produknya dikenali.

Jika produknya berkualiti, pekerjanya pula ramah-ramah dan saling membantu pelanggan, pemiliknya pula punya misi yang lengkap, empayar akan terbina dengan sendiri.

Tidak mustahil kalian juga boleh jadi seperti ini.

Terima kasih Puan Fadzilah Mamat sudi bersembang dan berkongsi kisah inspirasi kepada saya untuk saya kongsi kepada kawan-kawan. Semoga ianya bermanfaat, kongsilah juga kepada rakan-rakan lain ya.

Tahniah Benang Hijau atas pembukaan butik ke-18 di Cyberjaya sabtu ini. Bos kalian memang hebat.

Sumber: Khairul Hakimin Muhamad.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...