Si ibu meletakkan bayi kecilnya dihadapan tempat sujud disepanjang solat. Bayi kecil ini asyik memerhati gelagat kami terkumat-kamit, rukuk dan sujud disepanjang 8 rakaat.
Sekejap-sekejap dia tersenyum, sekejap-sekejap dia mengerut, memaling ke kiri dan kanan serta sekeliling sebelum akhirnya mula merenung dinding dan terlelap…..kira-kira 30 minit cukup hingga kami selesai 8 rakaat.
Ini salah satu contoh self soothing (mententeramkan diri sendiri) bayi: dimana bayi diberikan peluang untuk belajar terlena sendiri tanpa sebarang campur tangan/bantuan ibu atau alat ( atau bantuan yang di beri cukup minimum).
Anak Arab ini baru berusia 3 bulan. Dia belum pun boleh meniarap apa lagi menghisap jarinya. Namun, ibu kepada bayi ini cukup bijak mengambil kesempatan atas kemahiran terkini anaknya yang mula pandai mengamati suasana sekeliling untuk membiarkan anaknya menikmati peluang mengamati sekeliling itu sebagai cara me’rileks’kan diri sebelum tertidur.
Ada sebahagian ibu yang merasa, membuat bayi lena itu adalah tugas yang perlu disempurnakan ibu.
Maka, bila bayi gagal lena dengan cepat walau ibu telah berusaha dengan pelbagai cara atau bayi mula mencelikkan matanya sebaik diletakkan ke bawah oleh ibu..ibu mula stress, rasa kecewa dan gagal.
Ini suatu salah faham. Yang benarnya: TUGAS IBU ADALAH MEMANDU BAYI KE FASA TIDUR. MENYEMPURNAKAN LENA ITU ADALAH TUGAS BAYI.
Jika ibu telah memastikan bayi kenyang dan selesa, lalu ibu puas menepuk bayi atau mendodoinya tetapi tiada tanda bayi akan terlelap dalam masa ini, usah stress menyoal diri mengapa bayi belum lelap lagi?. Letak bayi, baring atau duduk berhampirannya dan perhatikan saja bayi.
Anda mungkin bakal melihat bayi yang memandang ke kiri dan kanan,bermain jarinya, main sembur air liur atau mula membebel lagu tidurnya. Lihat jika akhirnya dia mampu mamai dan terlena selepas itu.
Perbuatan anda memberi ruang untuk bayi menyendiri ini bakal membuka peluang kepada bayi mencari cara paling sesuai untuknya me’rileks’kan diri sebelum tidur. Atau,jika ibu ingin beredar buat seketika juga tiada masalah. Datang semula bila bayi mula menangis atau memanggil.
Sumber : Pn. Uswatun Hasanah Habib