Penyanyi, Azzam Sham berharap agar ancaman varian baharu Covid-19 iaitu Omicron tidak akan membantutkan rancangan pernikahannya dengan tunang yang juga merupakan penyanyi, Sheryl Shazwanie pada awal tahun depan.
Azzam mengakui bahawa timbul juga kerisauan dalam dirinya apabila terfikirkan kemungkinan tersebut lebih-lebih lagi apabila persiapan menuju hari bahagia mereka kini rancak dilakukan.
Alhamdulillah, persiapan kini sudah mencecah 80 peratus. Namun, saya belum dapat berkongsi butiran tarikh majlis nikah itu demi menjaga sensitiviti kedua belah pihak keluarga.
Menurut Azzam, kita sebagai manusia hanya mampu merancang lantas dia turut meminta doa daripada orang ramai supaya segala urusan mereka dipermudahkan.
Perkara tersebut dikongsikan Azzam ketika ditemui menerusi sidang media virtual pelancaran lagu baharunya berjudul Baby Bambam baru-baru ini.
Terdahulu, Azzam dan Sheryl telah melangsungkan pertunangan mereka pada 30 September lalu yang pada awalnya dirancang untuk dilangsungkan pada bulan Mei, namun ditunda kerana kekangan Covid-19.
Sekadar info, Azzam dan Sheryl juga sedang dalam perancangan untuk melancarkan lagu duet terbaharu mereka tetapi Azzam memaklumkan yang dia kini mahu fokus kepada promosi lagu terbaharunya iaitu Baby Bambam itu dulu.