Azilah Hadri Mengaku Bunuh Altantuya Shaaribu Atas Arahan Bekas PM Najib

Trending

Azilah Hadri Mengaku Bunuh Altantuya Shaaribu Atas Arahan Bekas PM Najib

Azilah Hadri, bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dalam satu laporan eksklusif Malaysia Kini memberitahu bahawa dia diarahkan untuk membunuh wanita warganegara Mongolia, Altantuya Sharibuu, atas arahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan rakan rapatnya Abdul Razak Baginda.

“Shoot to Kill”

Ini ialah pengakuan pertama dibuat oleh Azilah, yang dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.

Advertisement

Mohon Perbicaraan Semula

Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

Dia juga memohon perbicaraan semula supaya dia dapat mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka, dan seterusnya agar “keadilan dapat ditegakkan”.

Ini kerana, Azilah mendakwa ada keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Altantuya Perisik Asing, Berbahaya Kepada Negara

Dalam akuan berkanun (SD) sebagai menyokong permohonannya, Azilah memberitahu Najib mengarahkannya untuk “tangkap dan hapuskan” Altantuya. Menurutnya, dia diberitahu bahawa Altantuya ialah “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.

Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher.

Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.’

Azilah juga mendakwa Najib memberitahu supaya:

Berhati-hati dengan perempuan perisik asing tersebut kerana beliau pandai berkata-kata dan penuh tipu helah — salah satunya adalah bahawa beliau sedang mengandung.

Azilah juga memberi penjelasan mengapa baru kini dia membuat permohonan menyemak semula kes itu.

Sudah Rancang Mohon Semak Semula Kes Awal 2018

Dalam afidavitnya, Azilah berkata, pada awal 2018, dia telah merancang untuk membuat SD itu tetapi menangguhkannya kerana bimbang disalah guna menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Saya menegaskan di sini bahawa tujuan saya mengemukakan keterangan-keterangan dan fakta-fakta material di atas adalah bukan hanya kerana saya telah dianiaya oleh pihak-pihak berkepentingan tetapi juga bertujuan untuk saya zahirkan perkara sebenar yang telah terjadi di dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Saya juga berharap agar sahabat-sahabat saya di UTK secara khususnya dan PDRM secara amnya berhati-hati dalam menjalankan arahan-arahan yang diberikan supaya kes penganiayaan seperti yang dihadapi saya ini tidak berulang lagi.

Azilah berkata, dia berjumpa Najib di Pekan pada 17 Oktober 2006, di mana Najib telah mengarahkan dia membunuh “perisik asing.”

Dakwanya lagi, perkara itu diulangi Razak Baginda di pejabatnya pada keesokan harinya.

Berdasarkan SD itu, Azilah mendakwa Razak Baginda juga bertanya sama ada dia ingat wanita yang dia dan TPM jumpa di sebuah lobi kondominium di London.

…saya beritahu bahawa saya tak berapa ingat tentang perempuan tersebut tetapi tugas eskot (mengiring) TPM dan Razak Baginda dari hotel penginapan ke kondominium tersebut saya ingat. Razak Baginda beritahu perempuan itulah perisik asing yang dimaksudkan.

Azilah mendakwa selepas dia nampak wanita itu di luar kediaman Razak Baginda di Bukit Damansara kemudiannya, dia ingat pernah bertemunya bersama Razak dan Najib di kondominium itu.

Najib sebelum ini berulang kali menafikan pernah bertemu dengan Altantuya. Beliau malah bersumpah menafikannya dalam masjid.

Sementara itu, Azilah berkata dia diarahkan, dimaklumkan dan percaya arahan untuk operasi sulit itu datang terus daripada TPM dan melalui aide-de-camp beliau ketika itu, DSP Musa Safri.

Dalam afidavitnya, dia menyebut tiada motif atau sebab untuk membunuh Alatantunya tetapi Najib dan Musa, dakwanya, berkata operasi itu berkaitan keselamatan negara.

Selepas operasi sulit tersebut dilaksanakan, saya diarahkan untuk memberikan kerjasama di dalam siasatan pihak polis dan saya juga diberikan jaminan oleh DSP Musa bahawa sebarang perkara berbangkit akan dibantu oleh TPM selagi saya tidak libatkan nama baik TPM.

Dalam afidavitnya, dia juga berkata:

Pada setiap masa material, saya percaya bahawa saya bertanggungjawab menyimpan segala rahsia berkenaan operasi sulit tersebut dan saya yakin bahawa saya akan dibantu oleh TPM sama ada dengan cara bahawa saya tidak akan dituduh di Mahkamah dan/atau bahawa sebarang isu berbangkit di dalam operasi sulit ini akan diselesaikan.

‘Maaf, tapi saya tiada pilihan’

Semasa siasatan polis, Azilah berkata pasukan siasatan menyedari “penglibatan” TPM tetapi menafikan maklumat itu datang daripadanya. Katanya, dia mengesyaki maklumat berkenaan diperoleh daripada Sirul.

Antara lain, Azilah dalam afidavitnya mendakwa:

  • Dia menerima arahan lisan, tidak secara bertulis, daripada TPM dan Musa
  • Dia setuju menjalankan operasi itu atas kepercayaan penuh ia melibatkan keselamatan negara.
  • Dia percaya BN mempunyai kedudukan kukuh dalam kerajaan dan sebarang cubaan untuk mengingkari arahan TPM atau memburukkan namanya dalam kes itu akan menjadi sia-sia dan boleh mendatangkan kesan negatif terhadapnya.
  • Dia bimbang keselamatan diri dan keluarganya dan bimbang perintah hukuman mati terhadapnya dilaksanakan segera.

Katanya, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dia menelefon Musa tetapi diminta bersabar.

Saya beritahu DSP Musa, ‘Kalau macam ini baik saya bongkar dan beritahu semua.’

Mohon Maaf Kepada Keluarga Altantuya

Azilah juga berkata dia melambatkan pemfailan pengampunan kepada Sultan Selangor agar proses pelaksanaan hukuman gantung dapat ditangguhkan.

Bekas polis itu juga memohon maaf atas penglibatannya dalam operasi itu yang “meragut nyawa seorang manusia yang tidak bersalah”.

Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaariibuu di atas apa yang telah terjadi di mana saya tiada pilihan pada waktu tersebut melainkan untuk mematuhi arahan yang diberikan kepada saya dalam menjalankan tugas.

Laporan asal: Malaysia Kini

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...