Siapa tak kenal dengan pelantun lagu popular ‘Elegi Sepi’ iaitu Azharina Azhar. Mula mencipta nama selepas menjuarai program Bintang RTM pada tahun 2001, wanita ini terus berdiri hebat dalam industri seni selepas memenangi Gegar Vaganza musim ke-3.
Lahir dalam keluarga yang senang, Azharina mendedahkan bahawa dia sebenarnya tidak gemar dengan aktiviti membeli-belah sejak daripada kecil lagi. Walaubagaimanapun, ibu bapanya sering memanjakan anak-anak mereka dan tidak berkira ketika berbelanja.
Lagi mengejutkan apabila penyanyi hebat ini mendedahkan bahawa bapanya pernah meminta sebuah pusat beli-belah di Sarawak untuk menghentikan operasi kepada pengunjung selama satu jam supaya dia diberi laluan untuk membeli-belah.
“Kami diberi kebebasan untuk mengambil apa sahaja barangan di dalamnya. Itulah memori indah yang diciptakan bapa untuk kami.”
Bahkan Azharina sendiri pernah menerima hadiah beg sekolah jenama Prada yang dihadiahkan oleh ibunya. Meskipun barangan bundle daripada luar negara, adik- beradik mereka nyata berasa bertuah dimanjakan sedemikian rupa.
Azharina juga menyatakan bahawa dia jarang membeli-belah di dalam negara dan lebih suka berbelanja di luar negara sekiranya diizinkan.
“Selalunya saya akan membeli belah tiga hingga lima tahun sekali dan akan terbang ke luar negara dan itu ‘merbahaya’.”
Tambahnya lagi, orang ramai tidak akan dapat melihatnya di tempat sedemikian melainkan dia keluar untuk mencari barang keperluan.
Penyanyi berusia 35 tahun itu juga mendedahkan bahawa dia tidak akan keluar untuk membeli sekadar ingin mencari sehelai seluar. Azharina tidak akan terus membeli seluar mahupun baju dengan hanya melihat di satu kedai sahaja.
Bukan sekadar membeli, wanita ini sangat mementingkan kualiti barangan supaya ianya tahan lama dek pesanan orang tuanya suatu masa dahulu.
“Sementara di rumah, saya peruntukkan sebuah bilik untuk menyimpan barangan hasil belian, malah setengah daripadanya telah dihantar ke Sabah.
Lain orang, lain ragam membeli-belah kan?