Tiga dekad menyulam cinta sebagai suami isteri, pelakon Azah Aziz dan pasangan, Daud Leroy dilaporkan menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-30 semalam dengan bersanding buat kali kedua.
Ujar Azah atau nama penuhya, Norazah Aziz,52, kehidupan perkahwinannya tidak lepas daripada cabaran dan ujian sebagai suami isteri.
Dalam perkahwinan kena banyak bersabar dan perlu ada sikap toleransi. Tetapi jika ada masalah yang timbul, kami akan sentiasa duduk berbincang untuk selesaikannya. Apa yang berlaku hari ini, tidak dibawa sampai hari esok.
Kami masing-masing berkorban. Macam saya, lepas kahwin saya tinggalkan terus dunia lakonan demi fokus kepada keluarga dan menetap di luar negara.
Ditemui media ketika majlis sambutan ulang tahun perkahwinannya baru-baru ini, Azah sempat memberi tips buat mereka di luar sana tentang cara untuk kekal bertahan dalam rumah tangga.
Jangan jadi terlalu cemburu. Tetapi kita tetap harus memantau suami kita kerana lelaki tetap lelaki. Tak kisahlah mat salih atau Melayu. Penyondol memang ramai. Bukan di Malaysia sahaja, di luar negara pun ada.
Macam suami saya dia selalu ke luar negara atas urusan kerja. Jadi kami akan selalu berkomunikasi melalui panggilan video setiap hari. Macam sekarang suami saya tinggal di Dubai dan saya di Malaysia. Jadi memang setiap hari kami akan berhubung melalui panggilan video.
Pernah disangka sudah bercerai dengan suami, Azah berkata itu adalah lumrah sebagai seorang selebriti apatah lagi kini tinggal berjauhan dengan suami.
“Walaupun tinggal di berlainan negara, tetapi kami akan cari masa untuk bertemu. Kalau saya tidak ke Dubai, suami yang akan ke Kuala Lumpur. Tak jadi masalah,” katanya.
Perkembangan terkini, Azah bakal melancarkan koleksi abaya yang diimport dari Dubai tidak lama lagi. Koleksi itu difahamkan dijenamakan sebagai Vie.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.