Pastinya pelbagai rasa bahagia mendakap jiwa penyanyi dan pelakon Ayda Jebat bersama suami tercinta, Nabil Mahir yang sudah hampir dua bulan menyambut kehadiran cahaya mata pertama mereka iaitu Ana Nayla.
Ayda bagaimanapun mengakui melalui fasa mencabar mengelolakan anaknya, lebih-lebih lagi ketika dalam proses berpantang walaupun dia sangat bahagia menatap wajah anak sulung kesayangannya itu.
Disebabkan semua hal tentang anak saya cuba uruskan, berat badan saya pun turun dengan mendadak. Mungkin letih kot, saya sendiri terkejut sebab saya tidak diet pun tapi berat turun.
Tambah Ayda, dia sendiri tidak menyangka akan perkara tersebut kerana apa yang dia lakukan hanyalah jaga Ana, berpantang dan makan dengan sangat banyak.
Ayda turut memaklumkan yang berat badannya susut mungkin disebabkan Ana masih menyusu badan kerana tahu-tahu sahaja beratnya sudah turun hingga ke 45 kilogram.
Namun begitu, Ayda tidak kisah jika beratnya turun atau berasa penat, asalkan dia dapat sentiasa menghabiskan masa bersama dengan anaknya serta menguruskan keperluannya.
Dalam pada itu, Ayda turut mengucapkan rasa syukur dan bertuah kerana Nabil banyak membantunya menjaga Ana sehingga boleh dikatakan, setiap masa Nabil akan cuba selesaikan semua hal tentang Ana serta menyuruhnya rehat sahaja.
Sekadar info, Ayda dan Nabil telah mendirikan rumah tangga mereka pada 1 Januari yang lalu dan dikurniakan seorang puteri sulung bernama Ana Nayla pada 21 Semptember lalu.