Nampaknya kes penyebaran berita palsu tentang kematian ataupun kemalangan artis di Malaysia ini semakin menjadi-jadi, kali ini nasib yang sama menimpa Ayda Jebat apabila ada sebuah portal melaporkan aktres itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.
Malah, berita itu menjadi viral di Facebook dan mencetuskan pelbagai spekulasi.
Ayda yang mengetahui berita itu nyata terkejut dan memberitahu bahawa pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan foto lama ketika beliau kemalangan pada tahun 2012.
Saya terkejut kerana ramai yang menghubungi saya dan bertanyakan adakah saya terlibat dalam kemalangan. Rupa-rupanya ada pihak di laman Facebook menyebarkan berita yang saya terlibat dalam kemalangan dan menggunakan gambar lama saya.
Saya pernah terlibat dalam kemalangan tetapi pada tahun 2012 dahulu. Alhamdulillah, sekarang ini saya sihat sahaja. Saya pun tak tahu kenapa gambar dan cerita lama disiarkan semula selepas empat tahun.
Ayda turut menasihatkan orang ramai tidak percaya dengan mana-mana berita palsu dan berhati-hati sebelum menyebarkan ia.
Perkara ini bukan sahaja terjadi kepada saya, tetapi ianya pernah juga terjadi kepada selebriti-selebriti lain. Nasihat saya, sebelum menyebarkan sesuatu berita, pastikan dahulu berita itu sahih atau tidak. Jika berita yang disampaikan tidak benar, banyak implikasi negatif yang bakal berlaku.
Haish, makin menjadi-jadi pula mereka yang suka buat cerita palsu ni. Hidup, mati ataupun perkara yang berkaitan kemalangan tidak boleh dibawa main-main.