Tular di media sosial hari ini apabila ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mendakwa pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat,78, telah meninggal dunia.
Berita palsu itu difahamkan telah tersebar menerusi Facebook dan juga Whatsapp. Sehubungan dengan itu, anak kepada Datuk Jamali, Fauzi Jamali,48, telah tampil menafikan berita tidak benar itu dan berkata bahawa bapanya masih lagi hidup dan berada dalam keadaan baik.
Ketika dihubungi media, Fauzi turut memberitahu bahawa dia dan ahli keluarganya telah menerima banyak panggilan dan pertanyaan mengenai kesahihan cerita itu.
“Janganlah sebarkan benda yang tidak betul. Kalau mereka yang nak kongsi berita itu pastikan dapat daripada sumber yang benar dan sahih. Ayah masih berada dalam keadaan sama namun sudah ada sedikit selera untuk makan. Kita bagi dia makan sedikit tapi kerap. Dia masih lagi hidup dan kita doakan yang baik-baik untuk kesihatannya.”
Penafian mengenai berita tersebut turut dimuat naik oleh seorang individu yang difahamkan merupakan cucu kepada Datuk Jamali Shadat di ruangan Facebooknya, sebentar tadi.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa keadaan kesihatan pelawak itu semakin merosot kerana menghidapi penyakit darah tinggi dan kencing manis. Datuk Jamali Shadat juga dikatakan banyak mendiamkan diri serta kemurungan setelah kematian isteri tercinta, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018 yang lalu.