Hasrat seorang bapa untuk bertemu dengan anaknya yang terpisah hampir 58 tahun akhirnya menjadi kenyataan. Pertemuan dua beranak itu, Luo, 90 dan Fu, 60, berlaku di Zaozhuang di wilayah Shandong, utara China.
Luo yang terpisah dengan anaknya yang ketika itu berusia dua taun di sebuah stesen kereta api Xuecheng pada tahun 1963 selepas terlepas pandang ketika sedang menunggu kereta api.
Jabatan Keselamatan Umum bandar berkenaan mengeluarkan gambar dan video pertemuan yang menyayat hati itu.
Media tempatan melaporkan, dia tidak menyedari kehilangan anaknya ketika kejadian kerana pada mulanya mereka saling berpegangan di stesen itu. Dia kemudian berasa sesuatu yang tidak kena sebelum menyedari kehilangan Fu.
Sebelum Fu dijaga oleh keluarga angkat, dia dipercayai dilarikan kumpulan penyeludup manusia yang membawanya ke Shanghai. Luo dan keluarga berusaha mencari Fu sejak bertahun lamanya menggunakan pelbagai cara termasuk akhbar dan internet.
Jabatan Keselamatan Umum di Zaozhuang menjalankan siasatan khas menggunakan teknologi asid deoksiribonukleik (DNA) terkini yang diperluas ke wilayah lain pada tahun 2015.
Pada 1 Jun lalu, ia kemudian berjaya mengesan Fu selepas DNA dua beranak itu sepadan sebelum berjaya menemukan mereka berdua.