Zaman sekarang, ada diantara mereka yang ghairah untuk mengikut trend menggunakan pendakap gigi tiruan. Kerana apa, nak kelihatan cantik tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
Tetapi tahukah anda semua, risiko menggunakan pendakap gigi tiruan akan menyebabkan anda terdedah kepada pelbagai jenis penyakit berjangkit, termasuk HIV.
Baru-baru ini, Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan, Dr Doreyat Jemun ketika mendedahkan perkara ini, berkata, kedatangan pesakit itu kerana mereka mengalami pelbagai jangkitan kesan penggunaan pendakap gigi tiruan.
Lebih mengejutkan, beliau berkata jumlah pengguna pendakap gigi tiruan yang datang ke Klinik Kesihatan Pergigian Awam (KKPA) di seluruh negara semakin meningkat.
Ini membimbangkan apabila masih ramai, terutama remaja menggunakan perkhidmatan haram itu kerana kosnya murah dan mudah, sedangkan mereka berdepan dengan pelbagai risiko penyakit berjangkit.
Perkhidmatan haram ditawarkan itu dijalankan tanpa mengikut prosedur sepatutnya, dan paling merisaukan kerana kebarangkalian untuk dijangkiti virus dan kuman sangat tinggi.
Doreyat meminta orang ramai mendapatkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi dari pihak yang bertauliah.
KKPA menyediakan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi dan manfaatkan kemudahan yang ditawarkan adalah yang terbaik kerana ia selamat dan murah.
Banyak kes berkaitan akibat penggunaan pendakap gigi tiruan direkodkan antaranya gigi jadi semakin jongang dan ada kes gigi tertanggal.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau kegiatan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi palsu.
Sejak 2015 hingga sekarang, lima kes berkaitan perkhidmatan itu berjaya dicegah, empat daripadanya sudah didakwa di mahkamah.
Kami tahu kesan jangka masa panjang terhadap penggunaan pendakap gigi palsu itu, justeru penguatkuasaan akan terus dijalankan.
Jadi kepada korang di luar sana itu, janganlah guna pendakap gigi palsu. Bahaya untuk kesihatan anda semua!
Sumber: Berita Harian