Hari ini episod pertama program realiti khas Lara Alana yang bertajuk Lara Oh Lara akan menemui penonton di saluran Astro Ria.
Sebagai bapa, Awal Ashaari akui beliau ada merasa sedikit gementar dengan penerimaan orang ramai terhadap program realiti anaknya itu.
Sebagai pasangan yang baru sahaja bergelar ibu bapa, saya dan isteri rasa gementar menantikan penerimaan orang ramai yang bakal menyaksikan LOL. Program ini memaparkan cara kami mendidik dan membesarkan Lara.
Cara mengasuh anak berbeza. Mungkin ada perkara yang kami buat tidak sama dengan ibu bapa lain. Ada perkara dan cara asuhan sesuai dengan kami, tetapi mungkin juga tidak sesuai dengan orang lain.
Awal juga mengatakan tujuan beliau bersetuju untuk anaknya mempunyai program realiti sendiri  adalah kerana ingin berkongsi kehidupan seharian Lara dengan peminatnya.
Ini kerana, peminat Lara setiap hari meminta beliau dan isteri Scha Al-Yahya untuk memuat naik video serta foto Lara ke Instagram meskipun mereka pada waktu itu sibuk. Jadi , ini adalah peluang untuk peminat untuk mengetahui setiap perkara yang Lara lakukan.
Lara Oh Lara yang akan bersiaran selama 13 episod pada setiap Rabu, jam 9.00 malam di Astro Ria, saluran 104 dan Astro Ria HD, saluran 123, mulai hari ini.