Anak perempuan Aaron Aziz iaitu Dwi Ariana membuat hantaran dan menyelar kenyataan seorang wanita dikenali sebagai Sharina Richie yang telah mencetuskan fitnah terhadap aktor tersebut.
Menerusi media sosial, wanita berkenaan telah mengambil sebahagian video temu bual Aaron dan mengkritiknya serta mengaitkan kenyataan aktor tersebut dengan isu misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Aaron sendiri telah tampil menegur wanita itu kerana telah membuatkan dirinya menerima pelbagai kecaman disebabkan fitnah tersebut dan Sharina juga telah membuat permohonan maaf menerusi akaun media sosial.
Bagaimanapun, Dwi Ariana berpendapat kenyataan diberikan wanita berkenaan bukanlah permohonan maaf dan mendedahkan dia masih tidak membalas direct message di Instagram.
Dwi Ariana juga menegaskan mereka sekeluarga menjadi penyokong kuat Gaza sejak 2020 lagi dan tidak perlu untuk menunjukkan bukti tersebut.
Dia turut meminta Sharina memadam video yang telah menimbulkan fitnah tersebut serta membuat permohonan maaf dengan betul. Kata Dwi Ariana lagi, adiknya berusia 15 tahun telah menerima pelbagai mesej dan komen disebabkan video dibuat oleh Sharina.
Salam subuh Shafitnah, awak terus menerus tidak mempedulikan semua mesej dan komen saya. Awak dah tabur fitnah terhadap bapa saya kepada rakyat Malaysia, mengambil sebahagian temu bual di luar konteks untuk dikenali. Padam video itu, balas mesej saya dan mohon maaf.