Atlet Paralimpik negara berjaya mencipta sejarah apabila memenangi dua pingat emas dalam temasya Paralimpik Rio dan lebih dari itu, salah satu dari emas itu berjaya dimenangi dengan mencipta rekod baru dunia.
Berdasarkan rekod sebelum ini, Malaysia belum pernah memenagi pingat emas dalam temasya sukan tersebut. Pencapaian terbaik Malaysia dalam sukan tersebut adalah satu perak dan dua gangsa pada tahun 1992.
Pingat emas pertama dimenangi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pada Sabtu di Rio de Janeiro, (Ahad di sini) dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dan sejurus selepas itu, pingat emas kedua diraih Muhammad Ziyad Zolkefli dengan rekod baru dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).
Di Stadium Olimpik Rio, Mohamad Ridzuan terus memecut ke garisan penamat 100m T36 dengan catatan 12.07 saat mendahului Yang Yifei dari China (12.20s) dan Rodrigo Parreira da Silva dari negara tuan rumah Brazil (12.54s).
Muhammad Ziyad melontar peluru sejauh 16.84 meter untuk mencipta rekod dunia dan memungut emas dalam cubaannya yang kelima.
Muhammad Ziyad telah memadamkan rekod dunia yang dipegang oleh Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m di Paralimpik London 2012. Dimitrios Senikidis dari Greece memenangi pingat perak dalam acara itu di Rio dengan lontaran 16.17m dan Hodgetts meraih pingat gangsa dengan lontaran 15.82m.
Sumber : BH Online