Sebentar tadi, bermulalah sudah temasya Sukan Olimpik 2020 Tokyo yang kita nanti-nantikan selepas beberapa kali kita dimaklumkan ia akan dibatalkan berikutan penyebaran wabak Covid-19.
Bagaimanapun, upacara pembukaan yang berlangsung di Stadium Olimpik, Tokyo Japan telah berlangsung dengan sangat meriah selepas ditangguhkan selama 1 tahun daripada tarikh asal.
Apapun, paling menarik tumpuan seluruh rakyat Malaysia dalam upacara pembukaan ini sudah tentulah kemasukan kontinjen Malaysia yang diwakili 13 atlet kebangsaan dan pegawai dengan busana bertemakan Laksamana Hang Tuah. Pembawa Jalur Gemilang pula diketuai Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying.
Ramai yang memuji busana yang dipakai 13 wakil negara kita ini. Untuk pengetahuan, busana Laksamana Hang Tuah ini telah direka oleh Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menginspirasikan warna Jalur Gemilang.
Semoga atlet negara kita berjaya membawa pulang pingat sekaligus mengharumkan nama negara. Ayuh Malaysia!