Pelakon Datin Atikah Suhaime tampil mempertahankan rakan artisnya, Datin Intan Najuwa, selepas nama Intan didakwa berubah sikap sejak bergelar Datin.
Menerusi satu video di TikTok, Atikah pada awalnya berkongsi sesi ‘unboxing’ beg tangan jenama tempatan yang dibelinya. Namun, dia membidas komen seorang individu yang mengatakan dirinya tidak layak digelar Datin kerana tidak memiliki barangan mewah.
Dalam masa sama, seorang lagi netizen mengaitkan nama Intan Najuwa dengan gaya hidup mewah yang kononnya tidak memberi manfaat kepada orang lain.
Menjawab dakwaan itu, Atikah menegaskan Intan seorang yang pemurah dan merendah diri, bahkan sering membelanja rakan-rakan ketika di set penggambaran. Jelasnya,
Intan memang sudah kaya sebelum bertemu suami. Saya pula baru merasa kehidupan senang selepas berkahwin. Cara kami berbeza, tapi masing-masing ada cara sendiri untuk bahagia.
Atikah turut meminta agar dirinya dan rakan selebriti lain tidak dibandingkan kerana setiap orang memiliki jalan hidup yang berlainan.