Difahamkan sedang hangat menjalin hubungan cinta dengan kekasihnya, Datuk Lokman Teh, pelakon Singapura yang mencipta nama di Malaysia, Atikah Suhaime kini akui masih belum melakukan sebarang persediaan untuk melangkah ke fasa seterusnya.
Kisah tersebut dikongsikan oleh pengurusnya, Nia Adlina Aisha yang bertanggungjawab menguruskan kerjana seni pelakon berkenaan.
Menurutnya, Atikah kini masih berada di Singapura menanti saat pihak kerajaan membenarkan orang luar masuk ke Malaysia.
“Apa yang dia nantikan adalah pintu sempadan dibuka semula kerana dia nak kembali bekerja.”
Tambahnya lagi, Atikah masih dalam proses penggambaran sebuah drama berjudul Dendam Cinta Aryssa terbitan Radius One yang tergendala berbaki 10 episod lagi.
Untuk rekod, Atikah sebelum ini pernah mengikat tali pertunangan dengan penyayi Awi Rafael. Namun ikatan itu terlerai di tengah jalan apabila kedua-dua mereka difahamkan bersetuju memutuskan hubungan berkenaan pada 14 Mac 2019 iaitu tiga hari sebelum majlis pernikahan mereka berlangsung.
Episod putus tunang itu langsung tidak memadam perasaan ingin berkasih dalam diri Atikah. Hal ini kerana, sekitar Julai 2019, Atikah dikhabarkan telah mula berkenalan dengan Lokman yang juga pewaris kepada produk penjagaan badan popular dan mula menjalinkan hubungan yang erat sehingga kini.
Sumber: Harian Metro