Pelakon, Azzahra Ahmad tampil memberitahu bahawa dia membuat laporan polis (cover report) sebagai bukti bahawa kenyataan yang dikeluarkan mengenai dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga bekas suaminya, Jay Iswazir adalah benar.
Azzahra atau Fathima Azzahra Ahmad turut memberitahu dia juga telah menyerahkan kesemua bukti terhadap dakwaannya kepada pihak berkuasa.
Atas nasihat korang semua yang ambil berat tentang saya, balik dari London saya terus buat cover report.
Ada dengar bunyi-bunyi cakap saya fitnah dia, jadi segala bukti saya dah serahkan kepada pihak berkuasa.
Cukup pihak berkenaan tahu untuk tindakan susulan. Bukan bukti sahaja, saksi kejadian pun ada.
Perkara tersebut telah dikongsikan menerusi Instagram Storynya beserta paparan laporan polis yang telah dibuat.
Saya tak mahu panjangkan cerita dan nak hidup dengan tenang. Jadi harap pihak sana berhenti memanipulasi.
Pelakon itu turut memuat naik gambar kesan kecederaan yang pernah dialami dipercayai akibat dikasari.
Terdahulu, Azzahra mendedahkan Jay pernah melakukan kekerasan terhadapnya sepanjang mereka bergelar pasangan suami isteri.
Walau bagaimanapun dia enggan membuat laporan polis kerana bimbang ia akan menjejaskan nama baik Jay sebagai penggiat seni.