“Assalamualaikum, Boleh Berkenalan Secara Halal?”. Halal Speed Dating (HSD), Program Khas Umat Islam Cari Jodoh

Trending

“Assalamualaikum, Boleh Berkenalan Secara Halal?”. Halal Speed Dating (HSD), Program Khas Umat Islam Cari Jodoh

Empat pasangan menemui cinta hati mereka sehingga ke hari ini, terima kasih kepada sebuah program yang direka khas untuk umat Islam mencari jodoh tanpa perlu bimbang mereka tersasar daripada hukum agama.

Advertisement

Halal Speed Dating (HSD) dikendalikan secara bersama Zuhri Yuhyi dan isteri Munirah Tunai Shamsidi, mereka juga pasangan suami isteri yang ditemukan menerusi program cari jodoh.

Sejak dimulakan tahun lalu, HSD berjaya menemukan satu pasangan yang mendirikan rumah tangga, dan tiga lagi yang sudah bertunang.

“Insya-Allah, tiga pasangan yang bertunang akan berkahwin pada hujung 2016,” katanya, lapor FMT.

Pasangan yang menemui jodoh melalui HSD turut ditawarkan perancangan dan pakej perkahwinan.

Munirah, yang merupakan ketua pegawai operasi HSD, berkata program itu hanya menumpukan kepada mereka yang berminat untuk mencari jodoh dengan objektif untuk berkahwin.

Katanya, pendaftaran adalah percuma di laman web halalspeeddating.com dan pihaknya akan menjemput individu sesuai untuk sesi yang dikendalikan.

Mereka yang berjaya melepasi tapisan dan terpilih akan menyertai sesi suai kenal yang dikenakan bayaran sebanyak RM120 bagi wanita dan RM80 untuk lelaki.

Zuhri berkata bayaran yang dikenakan itu merupakan “yuran komitmen”.

“Sebab kami pernah hadir dalam program yang percuma, saya pun dah tiga kali pergi cari jodoh yang percuma tapi masalahnya semua orang dihumban dalam satu bilik… cakaplah.

“Banyak benda yang tak manis berlaku dan tujuan kami caj ini adalah untuk membayar tempat, makan minum dan kos saringan untuk memastikan calon yang sesuai,” katanya.

8 minit, bertemankan wali

Menurutnya, HSD mengehadkan seramai 12 lelaki dan 12 perempuan setiap sesi.

Peserta perempuan diwajibkan membawa “peneman” dalam sesi berkenaan seperti wali atau ahli keluarga, dan diberi masa selama lapan minit untuk berkenalan.

“Lapan minit ini waktu yang secukupnya untuk dia tahu atau nak bercakap lagi tak dengan calon itu. Dia akan undi calon mana yang dia nak, kalau ada match dan calon itu pun undi dia, baru akan ke fasa seterusnya. Dia kena ada match,” katanya.

Setiap calon boleh mengundi tiga orang yang dimahukannya.

Cuma di sini, walaupun “match”, pasangan masih tidak boleh menyusulinya dengan berhubung terus.

Sebaliknya, si lelaki akan diberi nombor telefon wali wanita terbabit.

“Kami tak bagi nombor telefon wanita itu terus. Kami bagi dia (lelaki) masa tiga hari untuk menghubungi wali wanita itu.”

Sekiranya lelaki tidak menelefon dalam masa tersebut, peluang diberikan kepada calon seterusnya.

Zuhri berkata HSD tidak terhad kepada orang Islam.

Bagaimanapun, setakat ini HSD hanya menerima dua permohonan bukan Islam.

“Dalam salah satu program kami pun, bukan Islam ada yang turut serta sebab dia berminat untuk memeluk Islam dan kalau nak peluk Islam, dia perlu tahu macam mana nak berkahwin cara Islam,” katanya.

Sumber

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...