Nampaknya, kisah tentang perkahwinan penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) masih menjadi bualan hangat di media sosial kedua-dua negara.
Ia turut mencuri perhatian warganet Malaysia meskipun selepas suaminya, Ashraf Sinclair meninggal dunia. Mana tidaknya, hubungan akrab BCL dan keluarga Ashraf masih utuh sehingga ke hari ini.
Lebih menyentuh hati, seluruh keluarga arwah dijemput dan menjadi tetamu istimewa BCL di hari pernikahannya baru-baru ini di Bali.
Klip video mempamerkan biras BCL, Yuna menyanyi pada malam majlis perkahwinannya tular di TikTok dan mendapat perhatian ramai peminat.
Menerusi rakaman itu, isteri kepada Adam Sinclair itu mendendangkan lagu duet bersama Usher berjudul Crush dan rata-ratanya memuji hubungan baik BCL dan Yuna serta seluruh keluarga Sinclair.
Bagaimanapun, ada pula seorang individu yang mengkritik vokal Yuna ketika persembahan tersebut namun warganet kemudian tampil mempertahankan penyanyi itu.
Beberapa individu berkata suara Yuna sebenarnya sedap namun mungkin kerana sistem audio yang membuatkan vokalnya kurang menyerlah.
Dalam pada itu, segelintir individu berkata persembahan Yuna secara live memang sangat sedap malah ada yang memuji kehebatan vokalnya ketika konsert sebenar.