Insiden menyayat hati melibatkan seekor anak gajah jantan berusia sekitar lima tahun yang maut selepas dilanggar sebuah lori kontena di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli baru-baru ini bukan sahaja meruntun hati netizen, malah mencetus perdebatan apabila ada pihak didakwa cuba ‘menunggang’ tragedi tersebut untuk keuntungan peribadi.
Tular di platform X (Twitter) satu hantaran yang memaparkan tangkap layar daripada TikTok, menunjukkan rekaan baju yang dijual dengan grafik lori, ibu gajah dan anaknya, disertai kapsyen beremosi “Tiada cinta tulus selain cinta ibu kepada anak-anaknya.”
Baju berkenaan dipercayai dijual pada harga sekitar RM25 sehelai.
Bagaimanapun, tindakan menjadikan insiden tragik itu sebagai bahan niaga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen. Ramai mengecam tindakan tersebut sebagai cubaan meraih simpati demi mengaut keuntungan tanpa memberi manfaat sebenar.
Benda macam ni diorang guna untuk isi perut sendiri, bukan kisah sangat pun tentang apa yang berlaku.
Tidak kurang juga, beberapa pengguna turut mempersoalkan rekaan grafik dan susun atur teks pada baju yang disifatkan ‘serabut’ dan mirip gaya baju yang sering dikaitkan dengan kumpulan mat rempit.
Ketika ramai berkabung atas insiden yang mengorbankan nyawa haiwan liar itu, wujudnya unsur penunggang isu dilihat sebagai tidak sensitif terhadap nilai sebenar pemeliharaan dan kesedaran alam sekitar.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.