Pelakon Dira Abu Zahar telah mencipta sejarah tersendiri apabila dia merupakan selebriti pertama bergelar wakil rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.
Dira atau nama sebenarnya Datuk Khaidiriah Abu Zahar telah memenangi PRN atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 1,327 dan menewaskan dua lagi calon iaitu Azalina Abdul Rahman (PN) dan Prasanth Kumar (PH).
Sebelum melibatkan diri dalam bidang politik, Dira pernah membintangi beberapa drama seperti Tahajud Cinta dan filem seperti Chow Kit, KIL, Lari dan banyak lagi
Meninjau ke ruangan komen Instagram wakil rakyat ini, ramai netizen tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan ucapan tahniah di samping mengucapkan selamat berkhidmat untuk Dira.
Sekadar info, PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober lalu setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali.