Sedih bangat Abang Nara membaca luahan hati Noraini, bekas isteri Joey tentang kisah rumah tangganya di Pancaindera semalam. Memang sedih gila-gila. Tak sangka begitu sekali Joey memperlakukan isterinya. Teringat pesanan Noraini kepada artis wanita agar tidak merampas suami orang lain selepas disahkan bercerai baru-baru ini. Kali ini, Noraini mengulas lebih lanjut tentang sindirannya itu.
PEDAS benar bunyi kenyataan Kak Amy baru-baru ini. Semua tahu pesanan itu ditujukan kepada siapa. Agaknya kenapa kak Amy buat begitu ya?
Kenapa? Sebab sebelum ini, bila saya cuba betulkan kedudukan sebenar, orang kata saya begitu begini. Saya dihentam teruk. Malah ada di kalangan wartawan yang tak percaya dengan apa yang saya cakap walhal perkara ini benar-benar berlaku. Kalau awak tengok, ramai artis wanita kita yang berperangai begini, suka ambil hak orang.
Di bawah ialah kenyataan Noraini sebelum ini:-
Saya hanya nak pesan kepada artis-artis wanita, jika banyak lagi lelaki lain, jangan ambil suami orang. Tolong cari lain, jangan runtuhkan rumah tangga orang lain dan biarkan anak-anak kecil tanpa bapa.
Baca entri ini sepenuhnya untuk mengikuti luahan hati Noraini, bekas isteri Joey.
Maksudnya, merampas suami orang sudah jadi macam trend?
Susah nak cakap. Tapi perkara ini dah banyak yang terjadi depan mata dan saya antara yang diberi dugaan ini. Saya nak cakap lebih pun tak boleh sebab iyalah, saya ni bukan artis. Bila saya cakap nanti orang bidas saya semula. Macam mereka (Joey & Watie) senanglah boleh cerita macam-macam. Banyak wartawan yang tak tahu cerita sebenar, percaya bulat-bulat apa yang mereka cakap.
Habis, adakah ini bermaksud akak bermasalah dengan wartawan?
Saya tak pernah ada masalah dengan wartawan. Kalau media tanya, saya akan beritahu. Seboleh-bolehnya cakap benda yang betul, tak perlu sembunyi. Tapi yang sedihnya, bila saya beritahu, ada media yang putar-belit kata-kata saya.
Selepas bercerai, apa yang akak rasa sekarang?
Saya reda dengan ujian Allah S.W.T ini. Rasa lega sebab dah tak perlu turun naik mahkamah lagi. Cuma sekarang, saya fikirkan anak sajalah. Saya kena bangkit dari kegagalan ini dan hanya Tuhan sajalah yang tahu betapa sukarnya nak bina semula hidup apatah lagi saya ditinggalkan dalam keadaan yang cukup hina.
Maksudnya?
Saya diceraikan dalam keadaan tak ada pekerjaan. Macam mana saya nak besarkan anak kalau saya tak bekerja? Saya sanggup berhenti kerja produksi dua tahun lepas sebab Joey kata dia sudah boleh menyara keluarga lebih-lebih lagi banyak tawaran dia dapat sejak kebelakangan ini. Tak sangka tahun kedua selepas saya berhenti, dia mula buat perangai dan saya dapat tahu mengenai skandal dia dan Watie. Joey juga tak mahu berbincang dan cuba memulihkan hubungan. Baginya, cerai sahaja yang ada sebagai jalan penyelesaian.
Jadi selama ini siapa yang menyara keluarga?
Saya kenal Joey dah lama, 14 tahun. Kami berkahwin enam tahun lepas. Masa tu, dia tak dikenali. Saya yang kutip dia, ‘cuci’ dia daripada karat menjadi manusia. Boleh katakan, sebenarnya saya yang menyara hidup kami anak-beranak hasil bekerja produksi dengan gaji lima hingga enam ribu sebulan. Tapi bila saya rela berhenti sebab hormat keputusan dia sebagai suami, ini yang dia buat pada saya. Madu yang saya beri, racun yang dia balas.
Selepas bercerai, ada tak Joey datang menjenguk atau bertanya khabar anak?
Maaf cakap ye, memang tak ada dan inilah yang membuatkan saya rasa lebih terkilan. Usahkan pada hari-hari biasa, hari jadi anak pun dia tak ada nak beri ucapan atau telefon anak. Paling saya ralat, masa anak sakit sampai masuk wad di hospital baru-baru ini pun dia tak datang jenguk. Bila saya tanya dia tahu tak yang anak ada di hospital? Dia kata tahu. Bayangkan, sampai hati dia sebagai seorang bapa buat begitu. Bukan anak orang lain, anak dia juga. Kenapa anak kekasih dia, Joey boleh layan dengan baik pula?
Maknanya, kita boleh bacalah yang Joey pun tak adalah bertanya mengenai persiapan raya anaknya, begitu?
Memang langsung tak ada.
Lama mengenali Joey, sebelum ini memang begitukah dia sebenarnya?
Dulu dia tak begitu. Dia seorang yang penyayang pada anaknya. Kami pun dulu, selalu dicop sebagai pasangan yang romantis. Ke hulu ke hilir bersama. Tapi tak sangka, sekelip mata kerana artis itu, dia boleh berubah. Dia lupa pada pengorbanan saya selama ini terhadap dia. Saya faham kalau dia dah tak mahu pedulikan lagi diri saya sebab kami dah tak ada apa-apa ikatan. Tapi dia masih punya pertalian dengan anak. Hari-hari si anak bertanya mengenai ayahnya. Setiap kali itulah saya terpaksa menipu dan katakan yang ayahnya pergi bekerja.
Sebagai seorang wanita, apa agaknya tanggapan kak Amy mengenai punca yang membawa kepada perubahan Joey?
Manusia diberikan akal untuk berfikir. Tapi kerana nafsu, manusia boleh hilang pertimbangan. Entahlah, saya pun pelik, perempuan tu masih muda dan ada rupa, tapi kenapa dia nak sangat dengan suami orang? Saya percaya ramai lagi lelaki bujang, kacak dan kaya yang mahu dekati Watie, tapi kenapa dia pilih Joey? Sudahlah suami orang, Joey tu pun bukannya kacak, bukannya artis yang berduit, jadi apa sebenarnya yang perempuan itu cari? Fikirlah sendiri. Mujurlah saya ni boleh berfikir dengan waras dan tak ikut emosi. Sekarang ini, kalau boleh, saya tak nak tahu dan tengok di surat khabar mengenai kisah mereka berdua. Kalau boleh bayang-bayang mereka pun saya tak mahu tengok.
Ada apa-apa lagi pesanan untuk wanita lain di luar sana?
Saya tak layak nak beri nasihat pada orang tetapi kalau berkawan dengan suami orang, fikirlah baik-baiknya. Macam mana kalau ia terjadi pada diri mereka sendiri? Sejauh mana mereka boleh tanggung seksa dan peritnya bila rumah tangga hancur? Paling penting, fikirkanlah nasib anak kecil yang akhirnya hilang kasih sayang seorang bapa kerana angkara anda yang berlandaskan nafsu semata.