(ARTIKEL)Bagaimana Duta Jenama Mewah Dipilih?

(ARTIKEL)Bagaimana Duta Jenama Mewah Dipilih?

Artikel ini asalnya dari blog lain, tetapi kami ialah penulis asal artikel tersebut, dan kami kini memaparkan artikel ini di sini, dengan sedikit ubahsuai. Kebelakangan ini kami perhatikan kebanyakan perkahwinan selebriti ditaja dan kadang kala, kami juga tertanya-tanya bagaimana sebenarnya sesetengah syarikat pengeluar produk yang ingin memasarkan barangan mereka sebagai ‘barangan mewah’ atau luxury brand memilih duta mereka.

Duta kereta Audi, Hugh Jackman

Perlu ditekankan di sini, barangan menjadi mewah kerana kualiti dan keeksklusifan barangan itu. Jam Rolex misalnya, ialah satu jenis barangan mewah dan duta yang mewakilinya ialah Tiger Wood, juara Golf dunia. Untuk barangan seperti kereta Audi, dutanya ialah Hugh Jackman dan Jet Li ialah duta terbaru jam tangan mewah buatan Switzerland, iaitu Hublot Geneve.

Advertisement

Bagi barangan jenama mewah antarabangsa, satu pemilihan yang teliti dibuat sebelum duta untuk jenama mewah dipilih, kerana duta ialah sebagai simbol yang mewakili imej dan keeksklusifan barangan mewah tersebut.

Kalau diperhatikan, Rafflesia mempromosikan barangan kemasnya sebagai barangan mewah. Nilai dikatakan jutaan dan ratus-ribuan, setanding dengan harga Rolex, Audi dan Hublot, tapi setakat ini pemilihan duta yang mewakilinya tidak mencerminkan kemewahan.

Kalau nak diperkatakan tentang khalayak sasaran, sudah tentu syarikat ini mahu memasarkan barangan mereka kepada golongan elit di malaysia (makcik di kampung tidak akan berbelanja jutaan untuk mutiara, lebih baik mereka membeli emas kerana ia boleh dijual semula tanpa banyak masalah).

Tapi kalau dutanya tidak mencerminkan ‘kemewahan’ ini, sudah tentu agak sukar bagi syarikat ini untuk mencapai objektifnya. Oleh sebab itu, kami tertanya-tanya juga sama ada Rafflesia benar-benar telah mempertimbangkan tentang pemilihan duta mereka.

Sebelum ini, Memey Suhaiza dan Norman Hakim yang terlibat dengan kontroversi telah dipilih. Secara jangka pendek, memang Rafflesia boleh dikenali dengan cara ini (ahem, publisiti buruk juga tetap satu publisiti) tetapi untuk jangka panjang, mengaitkan barangan mereka dengan pasangan yang imejnya tidak begitu bagus di mata masyarakat adalah sesuatu yang tidak bagus untuk ‘perletakan produk’.

Cuba fikirkan, apa yang membuat Memey Suhaiza dipilih? Mungkin secara peribadinya, dia seorang yang baik dan bersopan-santun, tetapi tidak popular di kalangan isteri-isteri orang atas sebab tertentu, dan Rafflesia pula mengambilnya sebagai duta sedangkan sebahagian dari segmen sasaran produk Rafflesia sudah tentu datin-datin yang ingin kelihatan cantik dan berstatus bagi terus menambat hati suami mereka dan mengekalkan kerukunan rumah tangga? Ada satu ironi di sini.

Untuk barangan yang benar-benar mewah, kita boleh perhatikan yang duta yang dipilih ialah dari selebriti-selebriti yang terkenal di peringkat dunia. Kalau duta barangan Rafflesia ialah Datuk Nicol David, sudah tentu akan terserlah keeksklusifan dan kualiti barangannya, setanding dengan nama juara skuasy dunia itu yang masyhur. Tapi kami ada sedikit pelik bila nilai barangan yang setanding ataupun melebihi jam Rolex itu hanya menggunakan pelakon suam-suam kuku di Malaysia yang dikenali kerana kontroversi.

Dan jangan ingatkan kami tentang laman sesawang Rafflesia. Kami pernah membuat perbandingan laman sesawang Rafflesia dengan laman sesawang Mikimoto yang merupakan sebuah syarikat pengeluar set barang kemas berasaskan mutiara yang terkenal di arena antarabangsa. Buktinya, terdapat beberapa versi laman sesawang Mikimoto, iaitu Jepun, Amerika dan United Kingdom. Mikimoto, asalnya ialah dari jenama Jepun. Perhatikan perbezaan rekabentuk laman sesawang dan pemasaran bagi dua jenama ini:-

Mikimoto ( http://www.mikimotoamerica.com/ )

• Mikimoto menggunakan rekabentuk laman sesawang yang diintegrasikan dengan unsur Flash.
• Mikimoto menggunakan imej-imej beresolusi tinggi
• Menggunakan tema biru laut untuk rekabentuknya (kami kira kerana ianya seolah mutiara berkultur yang berasal dari laut dalam).
• Memaparkan informasi lengkap tentang set mutiara
• Memaparkan lokasi-lokasi stor internasionalnya (mudah diakses pelbagai pihak)
• Memaparkan item-item dengan pilihan lengkap mengikut kategori (set, gelang, rantai dan sebagainya) dan paras harga yang boleh dipilih oleh pelanggan
• Memasarkan mutiara, dengan itu ianya meletakkan gambar barangan dan informasi lengkap mengenainya
• Memiliki ciri interaktif dengan sistem pembelian melalui ‘cart’ dan ‘pembelian secara dalam talian’
• Integrasi proses interaktif dengan media sosial seperti ‘Facebook’ dan ‘Twitter’

Rafflesia ( http://www.rafflesia.com.my )

• Rafflesia menggunakan kod HTML yang sangat asas untuk rekabentuk laman sesawangnya (dari segi pemilihan font Times New Roman dan pautan peringkat asas)
• Imej logo menggunakan piksel rendah dan nampak tidak profesional
• Letakan imej-imej yang berterabur apabila pautan-pautan diklik
• Tiada unsur interaktif dengan medium media sosial
• Hanya ada ciri ‘register’ tapi didak diterangkan daftar untuk apa (i.e Dapat sebutir mutiara percuma? Dapat newsletter? Dapat masuk peraduan? Dapat diskaun?) Ianya juga adalah mungkin hanya borang pendaftaran dalam talian menggunakan ‘javascript’.
• Hanya menggunakan warna hitam dan merah yang tidak dapat dipastikan peranannya untuk mewakili Rafflesia dan Mandalay sebagai jenama
• memasarkan imej sebagai barangan kemas yang dipakai oleh selebriti (bukan barangan itu sendiri), kerana itu ia dipenuhi dengan gambar selebriti memakai set barangan Rafflesia ( kadangkala kamu tidak nampak sangat barang kemas tersebut) tetapi dari segi product placement juga agak berterabur kerana selebriti yang ditunjukkan mengenakan barangan kemas ini ada yang taraf diva, ada yang sekadar pernah dilihat menunjukkan penutup buah dada silikon berharga RM 20 di eBay (kesimpulan yang boleh dibuat, Rafflesia ingin memberitahu yang ‘selebriti dari tahap diva sehingga tahap marhain’ memakai barangan mutiara jenama ini (yang agak bercanggah dengan perletakan nilai sehingga jutaan ringgit)
• Tidak ada informasi asas mengenai mutiara, hanya menunjukkan selebriti memakai set barangan Rafflesia (di majlis anjuran Rafflesia)
• Sekali-sekala kita ‘diberitahu’ yang set barangan kemas tersebut bernilai ratusan ribu ringgit atau jutaan melalui peminjaman kepada selebriti sewaktu majlis perkahwinan mereka (Lisdawati, Memey Suhaiza). Ianya mengingatkan kami pada peraturan penceritaan “show, don’t tell“

Pemilihan duta dan rekabentuk  laman sesawang untuk sesesatu jenama mewah boleh saja menggunakan apa jua pelan pemasaran, tetapi ‘kebolehpercayaan’ itu penting. Duta dan laman sesawang ialah imej korporat sesebuah jenama atau syarikat perniagaan. Sekiranya imej yang cuba diberitahu itu gah, tapi tidak ditunjukkan melalui imej duta dan medium asas iaitu laman sesawang, jangan salahkan umum jika mereka berasa ‘curiga’.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...