Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menyatakan keputusan untuk membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen Muar, kerana dikatakan telah menggunakan nama parti dan mencampuri urusan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ini dinyatakan oleh exco Armada, Mohd Muzammil Ismail yang menurutnya, sidang media Syed Saddiq semalam didapati memutarbelitkan perlembagaan, memberi tafsiran berniat jahat dan membelakangi keputusan parti.
Menurut Muzammil amatlah tidak logik, bagi Ahli Parlimen Bersatu tidak menyokong kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang parlimen pada 18 Mei lalu.
Dia berkata, keputusan keluar dari Pakatan Harapan (PH) adalah keputusan majoriti Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang telah dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 23 Februari yang lalu.
“Keputusan itu turut diakui Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Perutusan Perdana Menteri Interim yang menyebut bahawa Bersatu memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH).”
Muzammil turut menegaskan bahawa Bersatu adalah milik semua ahli parti dan bukan milik mana-mana ahli yang berkepentingan. Tambahnya, pelaksanaan ‘rule of law’ perlembagaan Bersatu mestilah dipatuhi dan tiada sesiapa yang akan dikecualikan.
Ketua Penerangan Bersatu Titiwangsa, Wan Ahmad Fayshal juga turut menyatakan tindakan Syed Saddiq itu secara tidak langsung telah menimbulkan fitnah ke atas parti Bersatu dan barisan kepimpinannya.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.