Suasana di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi bertukar cemas apabila pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana tiba-tiba rebah sewaktu menuju ke bas selepas sidang media kepulangan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
Lebih mencemaskan, Ardell atau nama sebenarnya Nur Hidayah Mohd Amin, 35, dilaporkan rebah ketika sedang menggendong anak perempuannya.
Menurut saksi, wajah Ardell kelihatan pucat sebelum rebah di tengah-tengah lautan manusia yang hadir memberikan sokongan kepada para sukarelawan misi kemanusiaan itu.
“Wajah Ardell memang nampak sangat pucat, kemudian dia terus jatuh sambil peluk anak. Orang ramai pun mula panik masa tu,” kata salah seorang saksi di lokasi kejadian.
Dalam suasana kelam-kabut itu, polis bantuan yang mengiringi rombongan dilihat pantas menghulurkan bantuan kepada isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa itu.
Nadzmi yang berada tidak jauh di belakang isterinya pula segera meluru mendapatkan Ardell sambil mendukung anak mereka bagi memastikan keadaan isteri selamat.
Untuk rekod, kesemua 23 sukarelawan GSF termasuk Ardell Aryana, Zizi Kirana, Heliza Helmi, dan Hazwani Helmi selamat tiba di KLIA pada jam 10.13 malam selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Mereka berlepas dari Istanbul, Turkiye, selepas ditahan sejak 2 Oktober lalu ketika menyertai misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama lebih 500 sukarelawan dari pelbagai negara.
Kapal dinaiki mereka sebelum ini dipintas tentera Israel dan para sukarelawan mendakwa dilayan dengan kejam sepanjang tempoh tahanan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.