Ciri kesihatan terbaharu Apple akhirnya bakal tiba di Malaysia. Medical Device Authority (MDA) secara rasmi telah meluluskan ciri pemberitahuan hipertensi pada Apple Watch sebagai peranti perubatan.
Gergasi teknologi itu mengesahkan pihaknya kini sedang mematuhi prosedur pengedaran yang diperlukan dan menjangkakan ciri tersebut akan dilancarkan kepada pengguna di Malaysia pada awal tahun 2026.

Ciri ini direka untuk mengesan corak tekanan darah tinggi kronik, sekali gus memberi amaran awal terhadap masalah kesihatan yang sering digelar sebagai “pembunuh senyap”.
Bagi mengaktifkan fungsi ini, pengguna perlu menggunakan Apple Watch Series 9 atau model lebih baharu, atau Apple Watch Ultra 2 dan ke atas, yang menjalankan versi terkini watchOS. Ciri ini disasarkan kepada individu berusia 22 tahun ke atas, tidak hamil, dan belum pernah didiagnosis dengan hipertensi.
Ia berfungsi dengan menggunakan sensor optik jantung untuk mengesan perubahan corak degupan sepanjang tempoh penilaian selama 30 hari bermula dari hari persediaan awal. Jika jam tangan menghantar notifikasi, ini bermaksud ia telah mengenal pasti potensi corak hipertensi berdasarkan data jantung sepanjang 30 hari tersebut.
Pengguna kemudian akan diminta untuk menyediakan Log Tekanan Darah dan menggunakan alat pengukur tekanan darah pihak ketiga (cuff) bagi merekod bacaan selama tujuh hari.
Apple menegaskan bahawa ciri ini bukan pengganti nasihat atau rawatan doktor, dan jam tangan tersebut masih tidak mampu mengesan serangan jantung atau kejadian kardiak lain. Apple turut menasihatkan pengguna agar segera menghubungi perkhidmatan kecemasan sekiranya mengalami tekanan atau rasa ketat di dada.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
