Jabatan Kehakiman Syariah Perak memperkenalkan aplikasi permohonan cerai dalam talian yang dikenali sebagai MySolve, bagi memudahkan urusan perceraian di kalangan umat Islam,lapor FMT.
Bagaimanapun, tegas Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria, aplikasi berkenaan bukan bertujuan menggalakkan pasangan bercerai.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, pasangan yang ingin mendaftarkan perceraian mereka tidak lagi perlu berulang-alik ke Mahkamah Syariah.
“Ini kerana, semua maklumat yang dikemukakan pasangan itu telah disimpan dalam sistem, selepas mereka membuat permohonan cerai,” katanya yang dilaporkan Utusan Malaysia.
Menurut FMT, aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, sejak Januari lalu, boleh diakses melalui mysolve.perak.gov.my.
Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah negeri, Asa’ari Mohd Yazid berkata, setakat ini, 34 pasangan telah menggunakan aplikasi itu.
Kata beliau lagi, terdapat kes perceraian yang diselesaikan dalam tempoh sehari sahaja dan selewat-lewatnya seminggu, berbanding prosedur biasa yang memakan masa sehingga dua bulan.
“Aplikasi ini menjimatkan masa dan kos ketika berurusan dengan Mahkamah Syariah,” katanya sambil menambah, pasangan boleh mendapat tarikh sebutan perbicaraan yang sesuai, selain dapat mengurangkan kesesakan di kaunter mahkamah.