Aplikasi Be My Eyes, sekadar mendengar namanya sudah cukup menggambarkan fungsinya sebagai “mata” kepada mereka yang memerlukan.
Dilancarkan pada tahun 2015 oleh Hans Jørgen Wiberg, Be My Eyes merupakan satu inovasi digital berteraskan kemanusiaan yang menghubungkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan dengan masyarakat global. Aplikasi percuma ini membolehkan pengguna mendapatkan bantuan visual secara masa nyata melalui panggilan video bersama lebih 7 juta sukarelawan di seluruh dunia.

Menarik perhatian ramai apabila seorang sukarelawan dari Malaysia berkongsi pengalamannya sendiri menggunakan aplikasi tersebut, termasuk satu kisah yang benar-benar meruntun hati.
Menurut perkongsian itu, dia pernah menerima panggilan daripada seorang wanita buta yang meminta bantuan memilih pakaian sesuai untuk menghadiri sesi temuduga kerja. Difahamkan, wanita berkenaan baru menerima peluang daripada satu program khas, namun berasa kurang yakin dengan penampilannya.
Sukarelawan tersebut pada mulanya memaklumkan bahawa dia kurang arif tentang etika pemakaian wanita untuk acara formal, malah sempat bertanya sama ada wanita itu mempunyai kenalan perempuan lain yang boleh membantu. Namun wanita berkenaan memberitahu kebanyakan panggilan di aplikasi itu sering dijawab oleh sukarelawan lelaki.
Tidak mahu menghampakan, lelaki itu tetap membantu sedaya upaya termasuk membuat carian Google bagi mencadangkan padanan pakaian profesional yang sesuai untuk temuduga berkenaan.

Aplikasi Be My Eyes boleh digunakan pada peranti Android, iOS dan Windows. Antara ciri utama aplikasi ini ialah:
- Pengguna akan menerima panggilan secara rawak pada bila-bila masa dan boleh memilih sama ada untuk menjawab atau mengabaikannya. Jika tidak dijawab, panggilan akan disambungkan kepada sukarelawan lain yang tersedia.
- Semua panggilan dibuat dalam bentuk video kerana sukarelawan berperanan sebagai “mata” kepada pemanggil OKU penglihatan.
- Tiada rekod panggilan disimpan dan ada sukarelawan yang jarang menerima panggilan kerana sistem beroperasi secara rawak, memerlukan kesabaran dan keikhlasan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
