Seperti sedia maklum, jika mempunyai gejala atau simptom COVID-19, kita digalakkan untuk membuat ujian saringan COVID-19 di pusat kesihatan. Namun, tidak semua di antara kita mampu untuk membuat ujian saringan tersebut kerana kos yang terlalu tinggi.
Pusat kesihatan swasta sukar untuk mengurangkan caj saringan COVID-19 kerana kebanyakannya menggunakan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang mana caj jauh lebih mahal berbanding Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag)
Datuk Dr Kuljit selaku Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata, pihak swasta menggunakan RT-PCR kerana hasil keputusan yang jauh lebih tepat dan betul berbanding kaedah lain yang digunakan.
“Purata caj bagi ujian RT-PCR di hospital swasta ialah antara RM 300 hingga RM 400. Agak mustahil untuk harganya diturunkan kerana prosedur ini bukan dilakukan oleh mesin tetapi menggunakan sumber manusia”.
Beliau juga berkata pihak swasta sedia berbincang mengenai harga bersesuaian sekiranya kerajaan memperuntukkan subsidi bagi tujuan itu.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat iaitu Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan kerajaan berunding dengan klinik dan hospital swasta bagi menetapkan harga yang lebih murah untuk ujian saringan COVID-19 menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).
Ia adalah untuk menggalakkan lebih ramai individu khususnya pekerja asing yang tidak berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tampil secara sukarela untuk membuat saringan.
Tambah beliau, ujian RTK-Ag hanya digunakan di hospital swasta yang membabitkan kes kecemasan.
“Saya sedar ia digunakan secara meluas, bahkan banyak agensi menggunakan kaedah saringan ini. Bagaimanapun, saya tidak boleh ulas mengenai harganya kerana kebanyakan hospital swasta tidak menggunakan kit ini”.