Taj Mahal antara salah satu keajaiban dunia yang mengagumkan. Bangunan sangat unik dan memukau ini terletak di Agra, India. Berusia 364 tahun, namun masih kekal teguh berdiri di tebing selatan Sungai Yamuna dan menjadi tarikan pelancong dari serata dunia.
Pada tahun 2014, dianggarkan 7 hingga 8 juta manusia memenuhi ruang legar Taj Mahal menyaksikan sendiri keajaiban binaan bangunan berketinggian 74 meter ini dan juga keagungan cinta seorang lelaki terhadap isterinya.
Ada lagi beberapa fakta menarik yang perlu anda tahu mengenai Taj Mahal ini..
1. Dibina untuk permaisuri yang meninggal dunia
Pemerintah Empayar Mogul, Shah Jahan mengarahkan pembinaan Taj Mahal sebagai memperingati isterinya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia ketika melahirkan anak ke-14 kepada Shah Jahan pada tahun 1631. Lagenda mendakwa bahawa Mumtaz Mahal dianggap sebahagian dari hidup Shah Jahan dan beliau sangat sedih selepas kematian permaisurinya sehingga beberapa bulan sahaja rambut dan jambangnya berubah menjadi putih dan beruban. Begitu sekali kesedihan beliau.
2. Kos pembinaan RM3.54 billion dan 22 tahun
Selepas Permaisuri Mumtaz mati pada tahun 1631, Shah Jahan memerintahkan pembinaan Taj Mahal dimulakan pada tahun 1632. Dengan rekabentuk dan struktur yang menakjubkan, pembinaan Taj Mahal telah mengambil masa selama 22 tahun dan siap dibina pada tahun 1653. Kos menyiapkan Taj Mahal menelan belanja RM2.1 juta ketika itu, namun dianggarkan sebanyak RM4.3 billion sekarang.
3. 20,000 orang pekerja dan 1,000 ekor gajah
Arkitek yang bertanggungjawab menyempurnakan antara satu keajaiban dunia ini ketika itu adalah Ustad Ahmed Lahauri. 20,000 tenaga buruh dikerah menyiapkan bangunan ini termasuklah pekerja buruh, tukang batu, tukang cat, tukang kaligrafi, artis sulaman dan ramai lagi. Tidak cukup dengan itu, gajah-gajah juga digunakan membina Taj Mahal dengan mengangkat batu-batu yang sangat berat, dan jumlah gajah yang digunakan adalah lebih daripada 1,000 ekor.
4. Lebih daripada 28 jenis batu
Bangunan indah ini dibina sepenuhnya menggunakan batu marmar putih dan batu-batu ini merupakan kualiti terbaik yang dibawa khas daripada Rajasthan, Afghanistan, Tibet dan China. Namun masih tidak cukup apabila lebih daripada 28 jenis batu mahal termasuk batu lapis lazuli.
5. Dikenali sebagai bangunan paling simetri di dunia
Ia merupakan bangunan paling simetri di dunia. Keempat-empat bahagian bangunan ini serupa yang dibina menggunakan prinsip replikasi dan simetri dalam geometri dan senibina, dalam menghasilkan rupa bentuk dan imej yang serupa bagi kesemua sisi.
Keempat-empat menara tersebut dibina sedikit ke bahagian luar tapaknya kerana jika ia tumbang, ia akan tumbang ke bahagian luar dan bukan ke arah bangunan Taj Mahal.
6. Kerosakan Taj Mahal
Satu rusuhan telah berlaku hingga merosakkan Taj Mahal pada tahun 1857. Taman-taman disekeliling dirosakkan manakala batu lapis lazuli telah dipahat keluar oleh askar-askar. Melihat kerosakan yang dialami, pemerintah Koloni British India mengarahkan pembaikpulihan yang siap pada tahun 1908.
7. Mitos jari pekerja dipotong oleh Shah Jahan
Ada mitos mendakwa Shah Jahan mengarahkan ibu jari pekerja-pekerja dipotong bagi mengelakkan mereka daripada menghasilkan bangunan magis ini. Namun, ia tidak benar. Mitos lain adalah Shah Jahan ingin membina Taj Mahal berwarna hitam namun gagal selepas digulingkan. Sehinga sekarang, tiada bukti bagi menyokong mitos ini, dan dikatakan berasal daripada penulisan pengembara dari Eropah Jean Baptiste Tavernier.