Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mempunyai cara tersendiri dalam menjelaskan mengenai bulan Ramadan kepada anak sulungnya, Kingston Lee yang kini berusia lapan tahun.
View this post on Instagram
Di saat seluruh dunia baru sahaja menyambut bulan Ramadan, Lee Chong Wei berkongsikan cerita mengenai anaknya itu yang keliru kerana dikehendaki makan berjauhan daripada rakan-rakannya ketika waktu rehat di waktu persekolahan.
Perkara itu dikongsikan bapa kepada dua anak itu menerusi sebuah hantaran di Facebooknya, baru-baru ini.
Menggelar Kingston sebagai Koko, anak kecil itu mempersoalkan mengapa dua sahabat berbangsa Melayu enggan lagi makan bersamanya.
“Apa salah saya papa?” tanya Kingston kepada Lee Chong Wei.
“koko @kingstonleekc, you tak salah. Kawan-kawan you tu sebenarnya dah start puasa. Dan cikgu suruh makan di tepi sebagai tanda penghormatan kepada kawan-kawan yang tengah berpuasa tu. Jadi kamu kena nasihat kawan-kawan Cina India lain, mesti sokong kawan-kawan Melayu ini menjalankan ibadah puasa. Kena bertolak ansur dan hormat sesama lain..”
Meskipun pada awalnya Kingston menunjukkan sikap memberontak, setelah memberi penjelasan dengan sebaiknya, anaknya itu seakan memahami kewajipan yang mesti dipenuhi umat Islam ketika ini.
View this post on Instagram
Jaguh badminton itu turut memaklumkan kepada Kingston bahawa jika tiada sikap tolak ansur sesama mereka, rakan-rakan yang lain mungkin tidak mahu berkawan lagi dengan anaknya itu.
Dalam hantaran yang sama, Datuk Lee Chong Wei turut memuat naik fotonya yang segak bergaya memakai baju melayu berona biru lengkap bersampin dengan ucapan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam di negara ini.