Sedia maklum, Tomok merupakan peserta Gegar Vaganza musim ke-9 dan dia sering memberi persembahan yang terbaik buat penonton serta juri dalam program terbabit.
Pada minggu ke-7 lalu, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail telah diberikan tugasan untuk menyanyikan lagu ‘Kenangan Lalu’, namun komen yang diberikan oleh salah seorang juri telah mencetus rasa tidak puas hati daripada para netizen.
Sebagai gantian buat Dato Syafinaz, Datin Marlia Musa telah menjadi juri untuk minggu terbabit dan menurut beliau, persembahan Tomok yang dipertontonkan olehnya itu terlihat terlalu ‘intense’ hingga dia merasa sakit lihat persembahan tersebut.
Dalam pada masa yang sama, Datin Marlia turut mempersoalkan konsep Tomok menjadi ‘orang gila’ sedangkan lagu terbabit menggambarkan cinta yang sudah pergi.
Video Datin Marlia memberi komen mengenai persembahan telah tular di platform TikTok dan apabila meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen berang dengan pandangan juri jemputan tersebut.
Malah, netizen turut menyeru Dato Syafinaz segera kembali menjadi juri GV9 dan ada beranggapan sudah pasti Dato Syafinaz akan menyukai persembahan Tomok pada malam itu.
Sekadar info, Tomok kini difahamkan dalam proses menyiapkan album solo yang turut menampilkan pemain gitar New Boyz iaitu Afiez sebagai salah seorang pencipta lagu album terbabit.