Akhirnya persengketaan antara Neelofa dan Anzalna bakal ditamatkan hari ini. Kira-kira jam 1 tengah hari hari ini, Anzalna dan Neelofa akan bersemuka dengan Presiden Seniman, Zed Zaidi akan turut hadir. Anzalna akan meminta maaf kepada Neelofa untuk menyelesaikan segala kemelut mereka.
Walaupun sebelum ini Anzalna pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu meminta maaf, nampaknya Anzalna sudah pun berubah fikiran. Menurut Mstar Online, Neelofa turut mengenakan beberapa syarat untuk dipatuhi oleh Anzalna. Diharap Anzalna dapat mengikuti syarat-syarat tersebut untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku lagi. Kata Anzalna:-
Saya sudah meneliti surat daripada Neelofa. Saya akur dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat itu kerana saya mahu memohon maaf dengan ikhlas dan tidak mahu memanjangkan kes ini. Bagi saya, jika dapat diselesaikan dengan secepat mungkin, ia adalah lebih baik kerana banyak lagi hal lain dalam kehidupan saya yang perlu diuruskan. Kes ini sudah banyak menggangu dan menjejaskan jadual kerja saya. Walaupun saya berasa pelik juga dengan syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat itu tetapi saya akur kerana tidak mahu memanjangkan hal ini. Saya bersedia untuk memohon maaf bukan kerana dia tetapi kerana Allah. Saya tidak mahu jika konflik ini berterusan, lebih banyak kesilapan atau tindakan yang boleh mengaibkan orang lain akan saya lakukan sama ada secara sedar atau tidak.
Diharap selepas hari ini, tidak ada lagi kontroversi antara Anzalna dan Neelofa yang akan timbul. Biarlah segalanya tamat di sini. Kepada Anzalna, tahniah kerana berani meminta maaf walaupun sebelum ini anda bersungguh mahu menunjukkan bukti perbuatan Neelofa. Bukan senang untuk meminta maaf lebih-lebih lagi sekiranya kita berasa di pihak yang benar. Tahniah atas keberanian anda.