Lelaki yang meloloskan diri dari Malaysia setelah dihukum gantung sampai mati kerana membunuh model dari Mongolia, perlu dibicarakan semula, kata pemimpin politik Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Bekas pegawai polis Sirul Azhar Umar, kini berada dalam perlindungan di Australia mendakwa, dia diarahkan oleh ‘orang penting’ untuk membunuh Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.
Altantuya ialah kekasih Abdul Razak Baginda, yang merupakan rakan rapat bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang pernah dituduh salah laku sewaktu menguruskan pembelian dua buah kapal selam Perancis pada tahun 2002.
Penentang kerajaan Najib telah sekian lama menuduh bahawa Sirul dan rakannya setugasnya Azilah Hadri, yang ketika itu merupakan anggota Unit Tindakan Khas hanyalah kambing hitam untuk menyembunyikan keterlibatan ‘orang penting’ yang memegang jawatan tertinggi pentadbiran negara dalam pembunuhan tersebut.
Sirul sebelum ini pernah mengugut untuk mendedahkan siapa yang memberi arahan tersebut.
Anwar dibebaskan pada Rabu lepas setelah pensabitan bersalahnya dalam satu kes liwat diampunkan oleh Agong. Dia mencadangkan Sirul dibawa kembali ke Malaysia untuk dibicarakan semula.
Dia memberitahu akhbar Australia bahawa perbicaraan asal dan keputusan hakim sebenarnya tidak telus dan keengganan para hakim untuk memanggil saksi yang relevan bagi memberikan kenyataan semasa perbicaraan ialah ‘penghinaan pada undang-undang’.
Cara terbaik ialah untuk menjalankan pendakwaan yang baru serta membenarkan perdengaran kes itu dengan sepenuhnya.
Anwar dikatakan bakal menggantikan Perdana Menteri baru Tun Mahathir Mohamad setelah kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Najib mengalami kekalahan besar yang tidak dijangkakan. Pernah menjadi musuh politik Mahathir, kini mereka berkerjasama dan Mahathir dikatakan akan turun dari takhta jawatannya dalam masa setahun dua lagi untuk Anwar.
Sirul ditahan di Australia pada tahun 2015 dan terus dilindungi di sana, walaupun Canberra tidak pernah mengakuinya secara rasmi.
Satu laporan dalam Guardian minggu lepas menyatakan bidaan Sirul untuk mendapatkan visa perlindungan Australia akan didengari dalam masa beberapa bulan lagi. Bagaimanapun, pihak berkuasa Australia enggan mengesahkan tentang perkara ini kepada AFP.
Menurut akhbar itu, Canberra telah membenarkan pegawai kerajaan Malaysia dan orang tengah untuk bertemu Sirul dengan kerap, termasuk seorang dari UMNO dua minggu lepas.
Ia menyebut bahawa sumber mengatakan pelawat dari Malaysia itu menyampaikan mesej kepada Sirul: “jangan kata apa-apa.”
Skandal itu merupakan salah satu topik yang sensitif di Malaysia, untuk bertahun lamanya, ramai curiga dengan kes itu dan merasakan Altantuya dibunuh untuk mengelakkan pendedahan mengenai beberapa perkara tentang pembelian kapal selam tersebut.
Najib beberapa kali menafikan tuduhan salah laku dalam pembelian kapal selam itu, di mana dia dikatakan telah dibayar komisyen oleh pembuat kapal selam Perancis, DCNS, wang berjumlah lebih dari 114 juta Euros (RM 534,919,509.60) untuk menguruskan pembelian dua kapal selam Scorpene. Pengkritik Malaysia menyifatkannya rasuah.
Altantuya, 28, telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan dua bahan letupan plastik gred-ketenteraan di luar Kuala Lumpur.
Sirul dan Azilah disabitkan bersalah pada 2009 dan dihukum gantung. Mereka kemudian dibebaskan apabila rayuan mereka diterima di mahkamah yang mempersoalkan mengenai cara perbicaraan mereka dilaksanakan pada tahun 2013.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan gantung sampai mati mereka pada tahun 2015. Sirul telah melepaskan diri dari Malaysia sebelum itu lagi.
Diterjemahkan untuk amazingnara.com dari Agencé France Presse.