Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa Kerajaan MADANI bersama rakan antarabangsa akan terus menunjukkan solidariti dengan menyalurkan bantuan dari pelbagai aspek termasuklah dari segi perubatan sehingga keperluan pendidikan buat Palestin. Kerajaan MADANI juga turut bersetuju untuk memberi tambahan dana sebanyak RM100 juta untuk saudara kita di sana. Katanya lagi, Malaysia tidak pernah lupa akan saudara di Gaza.

Anwar Ungkit Perihal Palestin Di Pertemuan Antarabangsa
“Dalam setiap pertemuan antarabangsa, di Tokyo, Beijing, New Delhi, mahupun Eropah, tidak pernah saya lupa untuk membawa suara saudara kita yang dizalimi di Gaza.”
Pengumuman itu dibuat ketika beliau bersama puluhan ribu rakyat berhimpun di Dataran Merdeka dalam solidariti besar-besaran menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Gaza dan Palestin.
Tidak Ada Sebarang Unsur Politik
Anwar Ibrahim juga mengingatkan perhimpunan ini bukan datang dari suara parti atau suara kaum, tetapi suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan. Tanah mereka dijajah, manusia diperlakukan seperti haiwan. Nyawa bagaikan tidak ada nilai, hanya trauma dan ketakutan menjadi teman.
Sekali lagi, Anwar menambah bahawa Malaysia akan tetap menggandakan sokongan buat Palestin.
“Bulan ini bulan kemerdekaan kita. Seperti pejuang-pejuang lampau di tanah air, di Indonesia, India, Vietnam yang bangkit melawan penjajah, maka semangat merdeka itu kini kita teruskan bersama Palestin. Atas semangat ini, kita kirimkan segala usaha dan doa kita buat rakan-rakan aktivis yang akan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini.”
Sekadar info, pada 24 Ogos 2025 Dataran Merdeka menjadi saksi himpunan puluhan ribu rakyat Malaysia yang membanjiri Majlis Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza, sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus berdepan kezaliman rejim Zionis.

Menariknya, kehadiran bukan sahaja daripada rakyat tempatan, malah turut disertai warga asing dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.
Bulan ini, menjadi tanda bahawa 68 tahun yang lalu, kita telah merdeka atas kegigihan wira-wira negara berjuang habis-habisan demi mendapatkan kemerdekaan. Namun, saudara kita di Gaza masih berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Jadi apa salahnya, kita tadahkan doa, memohon kepada-Nya agar diberikan kekuatan dan semangat buat mereka di sana.