Semalam, Agong berkenan untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu selepas mendapat sokongan majoriti 114 Ahli Dewan Rakyat. Ini bermakna Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga diangkat sebagai calon Perdana Menteri terpaksa akur dengan keputusan itu.
Anwar dalam satu kenyataan media menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah. Perkara itu dimaklumkan malam tadi dan ia mewakili seluruh blok pembangkang.
Akan bekerja lebih gigih untuk hadapi PRU-15
Anwar sebelum ini dilihat mendapat 105 sokongan Ahli Dewan Rakyat untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu. Keputusan dilihat tipis tetapi Ismail Sabri mencapai jumlah majoriti yang diperlukan.
“Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan. Bagi pihak Pembangkang, ini adalah cabaran untuk kita bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).”
“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada Pilihan Raya Umum yang lalu.” – Katanya.
Beliau turut mengajak semua untuk sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 serta ekonomi negara segera diatasi.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara